RAWANG: Rumah tangga penyanyi Adira Suhaimi dengan usahawan Datuk Red berakhir perceraian dengan talak satu, pada pagi Rabu. 

Adnan yang dikenali sebagai Datuk Red, 46 melafazkan talak tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Gambak Barat, Rawang, Selangor.

Kes tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar pukul 9.45 pagi mengesahkan lafaz tersebut adalah sah mengikut hukum syarak. 

"Bahawa saya Adnan Abu menceraikan Adira Suhaimi dengan talak satu," lafaz Adnan.

Adnan ketika prosiding sedang dibacakan kelihatan tunduk sayu manakala Adira hanya kelihatan tenang.

Dalam masa sama, Adira juga bersetuju untuk tidak menuntut sebarang nafkah terhadap Adnan. 

Adnan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak, Rawang pada pagi Rabu ditemani peguamnya, Muhammad Akmal Azman

Adira turut hadir ke mahkamah pada proses berkenaan bersama peguam Nor Saidah Zakaria.

Pasangan itu bersalaman di dalam dewan sebelum bersurai. 

Terdahulu, Adira memfailkan perceraian terhadap suaminya, Datuk Red atau nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober 2023.

Kemudian, pada 5 Mac lalu, prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara mereka gagal apabila penyanyi itu tetap nekad untuk berpisah. 

Imbas kembali, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2. - Gempak