KUALA LUMPUR: Pengarah filem terkenal, Datuk Afdlin Shauki dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang baharu bagi penggal 2024 hingga 2025.

Pemilihan Afdlin dibuat berdasarkan undian majoriti ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung Dwitahunan FDAM Ke-25 yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, Selangor, semalam.

"Tanggungjawab sebagai Pengerusi FDAM suatu yang berat tetapi saya teruja untuk bersama rakan-rakan membawa suatu pembaharuan dan penjenamaan yang baharu supaya kita semua kembali berbangga memegang kad keahlian FDAM," katanya.

Pada majlis tersebut, Afdlin menyatakan komitmen untuk membantu ahli-ahli persatuan ke tahap profesionalisme yang lebih tinggi dan menaikkan kembali imej FDAM yang tercalar sebelum ini.

"Masalah FDAM tidak dihormati, mungkin apa-apa yang dilakukan pihak sebelum ini, itu kita letak ke tepi tapi kita menjenamakan semua FDAM ini menjadi tunggak utama untuk pengarah-pengarah di Malaysia. Kalau nak jadi pengarah mesti kena ada FDAM dan mesti diiktiraf sebagai ahli FDAM," katanya.

Menurutnya, penyertaan menjadi ahli FDAM juga terbuka pada pempengaruh digital agar mengambil peluang menimba ilmu dan pengalaman bersama FDAM dan ahli-ahli senior yang banyak pengalaman mengarah.

"Kita mendekati mereka kerana sekarang ini dunia 'content' ada di tangan mereka sebenarnya.

“Kita jangan sombong dan duduk dalam kepompong kita sebaliknya mesti membuka tangan kita menerima pembikin filem bebas tidak kira bangsa mahupun pergi ke mana saja agar kita sentiasa menyokong mereka dan akhirnya memperkasakan kembali filem-filem Malaysia yang menjadi objektif utama," katanya.

Tambahnya, FDAM perlu sentiasa memikirkan manfaat pengarah yang menjadi ahli.

"Apabila ahli membayar yuran, FDAM mesti memikirkan apakah persatuan ini akan buat untuk mereka? Macam mana persatuan ini boleh menjaga ahli? FDAM mesti menjaga pengarah-pengarah kita.

"Kalau ada seseorang pengarah melakukan sesuatu yang baik dan membanggakan, kita sokong ramai-ramai dan kalau ada yang buat masalah, kita tegur ramai-ramai. Saya rasa kita perlu satu suara," katanya.




Selain Afdlin, sembilan jawatan lain turut dipertandingkan iaitu Timbalan Pengerusi disandang oleh Khir Mohd Noor, Setiausaha (Mohamad Zaini Hassan), Timbalan Setiausaha (Don Hoe), Bendahari (Loganathan Kanabathy), Timbalan Bendahari (Terry Chan) manakala empat jawatan Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Mohamed Faizal Syed Ariff, Elrafaei Sapi, Faisal Chal Ahmad dan Muhammad Aiman Mohammad Zaki.