Sikap rendah diri dan senyuman pengarah veteran terkenal Allahyarham Datuk Jamil Sulong pastinya akan dirindui oleh ahli keluarga dan rakan rakan industri seni tanah air.

Ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Bentong, Pahang petang tadi, mereka turut memuji karya Allahyarham yang dilihat sebagai begitu kreatif dan halus.

"Beliau begitu berbakat sebagai penulis lirik. Bahasa yang digunakan begitu halus. Sehingga hari ini dan seribu tahun akan datang kita akan terasa ia (karya arwah) payah untuk dibuat.

Lirik yg ditulis arwah sangat menyentuh perasaan," kata pengkritik filem terkenal Hassan A. Muthalib.

Hassan Muthalib
HASSAN: Karya Allahyarham begitu halus. -Astro AWANI/Syafique Shuib

Hassan turut memuji sikap rendah diri Allahyarham yang patut dicontohi anak-anak muda sekarang.

"Arwah tahu ilmu dan bakat yang ada padanya datang daripada Tuhan. Ramai anak muda sekarang cakap 'sayalah pencipta, sayalah pereka.'

"Inilah patut kita elak," tambah beliau.

Harun Salim Bachik
HARUN: Allahyarham murah dengan senyuman
Pelakon dan pelawak terkenal Harun Salim Bachik turut bersedih dengan pemergian Allahyarham.

"Kehilangan arwah merupakan satu kehilangan yang amat sedih dan kita kehilangan satu permata dalam industri seni kita," kata beliau.

Harun, yang sudah lama tidak bertemu dengan Allahyarham, turut berkata Allahyarham begitu senang bertemu dengan mereka yang lebih muda daripada beliau.

“Saya panggil beliau ‘Abah’ dan Abah cukup senang bila jumpa yang muda-muda. Kadang-kadang Abah memberi petunjuk tentang apa yang Abah telah buat sebagai pengarah dan kita yang muda ini sedikit sebanyak dapat belajar dari Abah.

“Beliau memang seorang yang peramah dan mempunyai budi bicara yang baik. Beliau begitu pemurah dengan seyuman,” katanya.

Anak-anak Allahyarham yang ditemui turut memuji sikap Allahyarham yang baik hati.

Arjunaidi Jamil
ARJUNAIDI: Ayah memang best!

“Ayah memang seorang yang susah nak buat dia marah. Tak boleh nak ingat bila kali terakhir dia marah. Dia baik hati dan pendiam. Agaknya bila dia marah dia diam kot.

Overall dia memang best,” kata Arjunaidi Jamil.

Beliau turut menjelaskan Arwah bapanya tidak beberapa sihat sebelum koma.

“Namun beberapa bulan sebelum dia koma, dia gembira. Dia memang suka apabila kita datang beramai-ramai,".


Dr Anwardi Jamil
DR ANWARDI: Allahyarham cukup senang melayan cucu-cucu dan cicit.

Tambah Dr Anwardi Jamil, sejak kebelakangan ini, Allahyarham cukup senang untuk melayan cucu-cucu dan cicit beliau.

“Dia begitu gembira sekali bersama cucu-cucu dan cicit beliau. Cicitnya baru sahaja menyambut hari lahir yang pertama bulan lepas.

"Dan sejak sebulan yang lepas, tiga cucu menyambut hari lahir jadi dan dia begitu gembira dengan beberapa majlis hari jadi,” katanya.

Datuk Rosnani Jamil
SEDIH: Isteri Allahyarham, Datuk Rosnani, tidak dapat menahan kesedihan ketika menyiram air mawar di pusara

Sementara itu, isteri kepada Allahyarham iaitu seniwati Datuk Rosnani Jamil sempat memberikan ucapan ringkas selepas majlis pengebumian Allahyarham.

“Saya tak nak cakap apa-apa cuma nak ucapkan terima kasih kepada semua anak-anak emak yang sudi sampai sehingga Arwah suami selamat dikebumikan. Budi baik diaorang, mak tidak dapat balas sebab ini bukan kampung kita. Kita dekat sini anak rantau.

“Alhamdulilah semuanya berjalan lancar dan lebih daripada apa mak harapkan. Terima kasih kepada peminat peminat yg datang dan kasi sumbangan kepada emak,” katanya sambil menitiskan air mata.

Allahyarham Datuk Jamil Sulong selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Janda Baik selepas solat Jumaat pukul 4 petang tadi.

Sebelum dikebumikan, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Al-Ghufran Pinggir TTDI untuk disembahyangkan dan dianggarkan seramai 200 orang hadir.

Pengarah filem veteran terkenal itu meninggal dunia pada pukul 9.35 malam tadi di kediaman anaknya di Bukit Utama, Damansara.

Allahyarham dimasukkan ke sebuah hospital pada bulan lalu kerana angin ahmar dan dilaporkan telah koma sejak tiga minggu lalu.