PASTINYA impian setiap anak seni adalah untuk menempa nama dalam industri.

Begitu juga buat pelakon filem, Hairul Azreen yang sering mengimpikan peluang untuk berkarya dalam industri perfileman antarabangsa Hollywood.

Walaupun impiannya belum tercapai, tetapi peluang untuk bergandingan dengan pelakon Indonesia, Yayan Ruhian yang sudah terlebih dahulu menempa nama dalam industri Hollywood, bak mimpi jadi kenyataan.

“Impian saya dalam menceburi bidang lakonan adalah untuk menjadi pelakon aksi dan meluaskan sayap sehingga Indonesia dan pastinya antarabangsa.

“Jadi ia merupakan satu mimpi untuk berkerja dengan Yayan. Antara pengalaman manis saya bersama beliau adalah apabila saya berkesempatan untuk menonton filem Hollywood yang dilakonkannya.

“Apabila saya duduk sebelah beliau, saya merasakan diri saya sangat dekat dengan industri Hollywood. Walaupun belum rezeki, saya harap filem ini adalah batu loncatan untuk sampai ke tahap itu,” katanya ketika ditemui semasa sidang media tayangan filem Wira di ibu negara pada Selasa.

Tambah Hairul, impiannya juga tercapai menerusi filem ini apabila beliau dapat melakonkan watak utama yang melakukan aksi lasak.

“Saya sudah lama mengimpikan industri tempatan untuk menghasilkan sebuah filem yang mengetengahkan aksi, tidak kira siapa pelakonnya.

“Saya tidak menyangka saya yang berkesempatan untuk membawa watak utama bagi filem aksi ini dan saya merasakan peminat filem aksi pasti akan berpuas hati dengan hasil filem ini,” ujarnya.

Wira berkisarkan mengenai kisah seorang bekas tentera yang dahulunya melarikan diri akibat tidak tahan dikawal tetapi kembali ke pangkuan keluarga untuk membela nasib mereka.


Selain Hairul, filem yang menaruhkan aksi mempertahankan diri ini turut dibintangi oleh Fify Azmi, Datuk Hilal Azman, Henley Hii dan Josiah Hogan.

Istimewanya filem ini menampilkan pelakon Indonesia Yayan Ruhian dan Ismi Melinda.

Manakala pengarah popular, Dain Said juga tampil melakonkan watak antagonis bagi filem ini.

Filem ini juga diterbitkan hasil kerjasama Multimedia Entertainment, ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan Primeworks Studios.

Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 November ini.