SETIAP kali tiba musim perayaan Aidilfitri, pastinya Malaysia akan disajikan dengan lagu-lagu perayaan yang baharu bagi menepati citarasa pendengar masa kini.

Tidak kiralah lagu berentak upbeat mahupun mellow, lagu-lagu ini akan menjadi sajian halwa telinga sebagai satu tanda menyambut hari kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa.

Tahun ini sahaja sudah ada beberapa lagu yang berjaya menarik perhatian pendengar antaranya Ketipak Ketipung Raya (Aisha Retno & Aziz Harun), Jalan-jalan Hari Raya (Aina Abdul), Ha Ha Hari Raya (Ernie Zakri)  dan Alamak Raya Lagi nyanyian De Fam.

Namun dalam kegembiraan mendengar karya artis tempatan timbul pula isu lagu nyanyian De Fam itu seperti tidak bersyukur dengan hari perayaan Aidilfitri.

Sudah tentu, ia menjadi perdebatan antara netizen, namun sebagai penyanyi, komposer dan penulis lagu, Aina Abdul merasakan pendengar sebenarnya harus meraikan sahaja karya-karya yang telah dikeluarkan sempena musim perayaan.

“Saya sebagai komposer sendiri pun harus loosen up a bit lah, apabila melibatkan lagu-lagu perayaan kita longgarkan sikit kita punya repertoire dan bagi saya lagu tak semestinya kena masuk akal sebab macam lagu saya lagi tak masuk akal.

“Kita nak sesuaikan dengan ritma... bagi saya lagu De Fam adalah sebuah lagu yang bagus saya sendiri tak terfikir untuk buat lagu macam tu. kredit kepada penulis lagu jadi saya harap semua orang enjoy sahaja dengan lagu tersebut sebab lagu tersebut fun dan kalau lagu itu boleh buat kita gelak serta buat content yang fun itu salah satu perkara yang bagus,” katanya.




Pada masa sama, Aina mengakui dengan kehadiran platform TikTok, lagu raya berentak upbeat lebih menjadi pilihan netizen masa kini berbanding dengan lagu raya yang berentak balada.




Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Berkunjung di Hari Raya ini menyatakan bahawa untuk muzik video lagu Jalan-jalan Hari Raya akan mengalami sedikit kelewatan berikutan jadual kerja Aina yang sangat padat.

“Aina akan release kan muzik video tapi akan lewat sedikit sebab baru nak mula pengambaran minggu ini, insya-Allah minggu depan kita akan lancarkan muzik video itu,” ujar Aina.

Untuk lagu raya terbaharu, Aina sekali lagi bekerjasama komposer terkenal, Ezra Kong.