GOMBAK: Pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin sudah tentu memberi khabar duka buat semua.

Tidak terkecuali, rakan artis, Rebecca Nur Al Islam yang turut memberi penghormatan terakhir Allahyarham yang terkenal dengan lagu 'Kesetiaan' itu.

Menceritakan detik ketika dijangkiti COVID-19 pada 15 Julai lalu, Rebecca tidak pernah menduga Allahyarham Siti Sarah antara individu yang banyak menghubunginya dan memberikan sokongan moral.

"Sebenarnya secara jujur saya tidak pernah rapat dengan beliau, kami tidak pernah jadi kawan rapat, tidak pernah tukar telefon, tidak pernah.

"Tetapi arwah orang yang baik kerana pada 15 Julai 2021, saya dan keluarga kesemuanya 17 orang positif COVID-19, suami saya agak kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) ketika itu.

"Mungkin (Allahyarham) Siti Sarah dapat berita saya dan anak-anak dalam keadaan teruk, saya tak tahu dari mana arwah dapat nombor telefon saya dan hubungi saya," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI di Gombak pada Isnin.

BACA: Banyak kebaikan dibuat Siti Sarah secara senyap, duit bulanan diguna untuk sedekah - Shuib

BACA: Siti Sarah meninggal dunia

Jelas Rebecca, Allahyarham bukan hanya bertanya khabar dan memberikan sokongan moral, malah turut membantu Rebecca mendapatkan rawatan daripada doktor peribadinya.

"Beradanya saya di sini, saya beri penghormatan terakhir kepada Siti Sarah, saya pasti syurga tempat dia. Dia orang yang baik, dia tak kenal saya, tapi dia sanggup ambil berat pasal saya, risau pasal keadaan suami dan anak-anak saya dan makan ubat apa.

"Dia sanggup kenalkan doktor dia dekat saya, dia sangat baik. Saya terpanggil, bila bangun Subuh pukul 5.00 pagi, saya terus tengok Shuib punya Instagram, memang tiga, empat hari kebelakangan ini tidak tenang sangat," jelas Rebecca lagi.

Namun, ujar Rebecca, semua kenangan itu tidak akan dilupakan dan akan dikenang.