Kami tahu Ammar ada ke kelab malam dan sebagainya. Dia pergi dengan izin dan pengetahuan kami,” jawab Zain Saidin mengenai anak tirinya, Ammar Effendy, 18, ke kelab malam baru-baru ini.

Ammar sebelum ini telah berkongsi fotonya bersama rakan-rakan berhibur di kelab malam di akaun Instagram.

Berikutan itu, foto tersebut telah mengundang pelbagai persepsi negatif daripada pengikutnya di Instagram.

Untuk menjelaskan tentang perkara tersebut, Zain akui dia dan isteri Rozita Che Wan tidak pernah menghalang Ammar untuk keluar bersosial seperti ke kelab malam.

Namun menurut Zain, ia haruslah di bawah pengetahuan dia dan isteri.

"Beginilah, saya pun dulu pernah remaja. Ibu saya terbuka dalam segala hal dan saya dididik dengan cara terbuka. Lagipun anak-anak ni, lagi kita halang lagi mereka suka, lagi mereka nak buat.

"Jadi dalam hal ini saya dan Che Ta mengambil pendekatan menjadi lebih terbuka. Biarlah mereka rasa dan lalui sendiri pengalaman-pengalaman dunia luar. asalkan masih terkawal dan tidak melampaui batas.

"Lagipun mereka juga ada rasa ingin tahu," kata Zain yang ditemui di majlis pelantikannya sebagai model HotPerfumes, bertempat di hotel Concorde, Shah Alam, petang Khamis.

Bagaimanapun, kata pelakon yang popular melalui sitkom Oh! My English! ini, kebebasan yang diberikan kepada Ammar dan Aniq, tidaklah bermaksud kedua-dua anak tirinya itu boleh berbuat apa saja yang mereka suka yang membawa kepada akibat buruk atau sesuatu hal yang boleh mencemarkan nama baik dia dan Che Ta.

"Kalau dia buat apa-apa perkara yang kurang elok, bukan saja nanti kami sebagai ibu bapa yang terima kesan tapi dia sendiri juga akan terima akibatnya. Orang tetap akan kecam dan kritik dia.

"Dan andai kata kalau dia tersilap langkah sekalipun, dia sendiri yang dapat pengajaran daripada apa yang dia lakukan tu. Biarlah dia rasa (pengalaman) sendiri," jelasnya lagi.

Zain dilantik sebagai duta Hot Perfume selama setahun dan bakal menjalani penggambaran sebuah telemovie Oh My English tidak lama lagi. -- Astro Gempak