KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit hari ini sejajar dengan prestasi positif di pasaran serantau susulan penerimaan risiko yang bertambah baik.
Peningkatan penerimaan risiko ini disokong oleh data lemah pasaran buruh Amerika Syarikat (AS) yang meredakan jangkaan Rizab Persekutuan AS mengetatkan dasarnya serta tekanan ke atas hasil bon.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.88 mata kepada 1,631.75 daripada paras penutup 1,630.87 pada Jumaat minggu lepas.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka tinggi naik 2.55 mata kepada 1,633.42, bergerak antara paras 1,630.95 dan 1,640.46 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 599 berbanding 564, manakala 523 kaunter tidak berubah, 1,087 tidak diniagakan dan 24 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.78 bilion unit bernilai RM2.89 bilion daripada 4.23 bilion unit bernilai RM2.70 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kaunter teknologi merupakan antara saham yang meraih keuntungan tinggi.
Di Wall Street semalaman, indeks S&P 500 meningkat 0.73 peratus kepada 7,722.72 dan Nasdaq Composite naik 1.19 peratus kepada 27,190.86.
Beliau berkata pasaran saham tempatan dijangka kekal positif dalam tempoh terdekat ini memandangkan FBM KLCI masih berada dalam kedudukan terlebih jual susulan penurunan ketara minggu lepas yang mana keadaan ini dijangka terus menarik minat pembelian pada harga rendah khususnya bagi saham mewah terpilih.
“Kecairan domestik juga terus menyokong, dengan institusi tempatan merekodkan pembelian bersih sebanyak RM352.4 juta pada minggu lepas, walaupun aktiviti penjualan berterusan oleh pelabur asing kekal menjadi faktor hambatan,” katanya kepada Bernama.
Justeru, Thong menjangkakan indeks petunjuk pasaran akan mencatatkan pemulihan secara beransur-ansur namun kekal tidak menentu, dengan FBM KLCI berkemungkinan diniagakan dalam jajaran 1,620-1,650 pada minggu ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat lima sen kepada RM4.71, CIMB naik lapan sen kepada RM7.73, Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM13.00, Maybank susut dua sen kepada RM10.00, dan IHH Healthcare turun empat sen kepada RM7.76.
Dalam kalangan saham aktif, V.S Industry meningkat tiga sen kepada 32 sen, Zetrix AI susut lima sen kepada 6.5 sen, Jaks Resources turun sedikit sebanyak satu sen kepada 17 sen, Excel Force MSC merosot empat sen kepada 17 sen, manakala NationGate tidak berubah pada RM1.83.
Dalam kalangan kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries meningkat RM1.00 kepada RM43.40, UMS Integration melonjak 37 sen kepada RM9.40, Kelington naik 49 sen kepada RM9.12, Nestle menokok 48 sen kepada RM90.00, dan Samaiden menambah 35 sen kepada RM3.19.
Dalam kalangan saham paling rugi, Batu Kawan susut RM1.48 kepada RM18.98, United Plantations turun 32 sen kepada RM31.06, Hengyuan Refining Company berkurangan 18 sen kepada RM3.46 manakala Kuala Lumpur Kepong dan YTL Power International menyusut 14 sen masing-masing kepada RM20.86 dan RM5.54.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 61.56 mata kepada 17,543.49, Indeks FBM Emas menambah 19.78 mata kepada 12,190.35, Indeks FBM Top 100 naik 15.70 mata kepada 11,973.38, Indeks FBM Emas Shariah menokok 8.69 mata kepada 12,069.01 dan Indeks FBM ACE melonjak 77.15 mata kepada 5,606.61.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik sedikit sebanyak 0.45 mata kepada 178.97 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 99.63 mata kepada 19,140.14, manakala Indeks Tenaga susut 3.09 mata kepada 829.94 dan Indeks Perladangan turun 125.52 mata kepada 8,931.03.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.13 bilion unit bernilai RM2.41 bilion daripada 2.67 bilion unit bernilai RM2.34 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran naik kepada 1.04 bilion unit bernilai RM208.20 juta daripada 973.40 juta unit bernilai RM160.21 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 611.02 juta unit bernilai RM267.66 juta daripada 593.05 juta unit bernilai RM205.21 juta.
Sementara itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 248.10 juta saham di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (439.37 juta), pembinaan (183.56 juta), teknologi (1.76 bilion), perkhidmatan kewangan (49.02 juta), hartanah (106.95 juta), perladangan (22.08 juta), amanah pelaburan hartanah (10.76 juta), dana tertutup (152,900), tenaga (106.66 juta), penjagaan kesihatan (103.20 juta), telekomunikasi dan media (22.11 juta), pengangkutan dan logistik (40.92 juta), utiliti (38.48 juta), serta amanah perniagaan (162,200).
-- BERNAMA