Skip to main content

Malaysia

UMK perluas peranan industri dalam ekosistem pembangunan universiti

Arham berkata UMK juga bersedia membantu industri mengatasi cabaran melalui kepakaran penyelidik serta menyediakan bakat yang memenuhi keperluan pasaran. - Gambar Facebook UMK
Arham berkata UMK juga bersedia membantu industri mengatasi cabaran melalui kepakaran penyelidik serta menyediakan bakat yang memenuhi keperluan pasaran. - Gambar Facebook UMK

Advertisement

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperluas peranan industri dalam pembangunan universiti dengan melibatkan pemain sektor industri secara langsung dalam sesi pengajaran, pembangunan bakat, penyelidikan dan penyelesaian masalah sebenar.

Naib Canselor UMK Datuk Prof Dr Arham Abdullah berkata usaha itu digerakkan menerusi antaranya sesi penglibatan industri dalam pengajaran dan pembelajaran, pembangunan bakat, konsep “Industry on Campus (IoC)” serta pembiayaan mampan menerusi Dana Pembiayaan UMK.

Beliau berkata langkah lain yang diketengahkan ialah “UMK Talent Bridge: Connecting Campus Talent to Industry Leaders” yang menumpukan kepada hubungan antara bakat mahasiswa dengan pemimpin sektor berkenaan.

Kesemua inisiatif berkenaan menumpukan tiga pendekatan utama iaitu penglibatan industri, hubungan bakat serta pembangunan kerjaya bagi memastikan keperluan industri dapat diterjemahkan dalam pembangunan akademik dan kerjaya mahasiswa.

“Kekuatan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui perkara yang berlaku di kampus, tetapi juga melalui sejauh mana ilmu, kepakaran dan bakat yang dimiliki universiti dapat memberi nilai di luar kampus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arham berkata UMK juga bersedia membantu industri mengatasi cabaran melalui kepakaran penyelidik serta menyediakan bakat yang memenuhi keperluan pasaran.

“Sekiranya industri mempunyai cabaran, UMK mempunyai penyelidik. Jika industri memerlukan bakat, UMK mempunyai graduan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK Prof Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata pihak universiti itu berhasrat menjadikan program UMK CONNECT sebagai acara tahunan bagi memastikan hubungan akademia dan industri dapat dibangunkan secara berterusan.

Beliau berkata platform berkenaan boleh membuka ruang untuk menterjemahkan kepakaran universiti bagi memberi manfaat lebih luas kepada graduan, masyarakat dan sektor industri.

“Universiti memiliki ilmu, penyelidikan, bakat dan idea. Industri pula memiliki pengalaman, keperluan sebenar, teknologi, jaringan dan peluang. Apabila ilmu bertemu pengalaman, idea bertemu keperluan dan bakat bertemu peluang, kita mampu menghasilkan sesuatu yang jauh lebih besar,” katanya.

Pada majlis UMK CONNECT 2026: Majlis Minum Petang dan Apresiasi Industri dan Kerjasama Strategik yang menghimpunkan 104 rakan industri daripada pelbagai bidang, pihak universiti menerima sumbangan keseluruhan RM1.1 juta daripada Maybank Islamic.

Sumbangan itu bagi membiayai Program Pembangunan Siswa SULUNG (SULUNG) serta Projek Perumahan Orang Kurang Upaya (OKU) di Pusat Pemulihan OKU Kampung Aur (PROKA), Bachok, Kelantan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement