PELAKON komedi popular Amy Schumer tersinggung apabila dia ditampilkan di dalam majalah Glamour, edisi khas tentang wanita bersaiz besar, atau plus size.

Beliau memuat naik gambar kulit majalah dan terteranya nama beliau, di samping selebriti lain seperti Melissa McCarthy, Adem dan Ashley Graham.

“Tidak salah untuk menjadi saiz besar. Saiz besar di Amerika Syarikat adalah saiz 16. Saya antara saiz 6 dan 8.

“Majalah Glamour menampilkan saya dalam isu plus size mereka tanpa bertanyakan kepada saya dan memberitahu saya,” tulis Schumer di Instagram.

Beliau turut menjelaskan bahawa beliau tidak mahu anak-anak muda untuk melihat tubuh badannya dan menganggap itu adalah plus size.



Sementara itu, Ketua Pengarang majalah Glamour Cindi Leive dalam satu kenyataan memohon maaf kepada Schumer jika rencana itu meyinggung perasaan Schumer.

Beliau menjelaskan bahawa edisi khas ini khusus untuk wanita saiz 12 ke atas, namun Schumer termasuk dalam isu ini kerana pandangan beliau tentang tubuh badan memberi inspirasi kepada para pembaca.

“Edisi ini tidak menyatakan beliau adalah bersaiz besar. Kami mohon maaf jika beliau tersinggung,” kata Leive di Twitter.


Reaksi di media sosial berbelah bagi.

Ada yang berkata Amy Schumer memang seorang wanita bersaiz besar dan beliau harus berubah jika tidak suka dengan panggilan itu.


Namun ada juga yang sokong pendapat Schumer bahawa majalah berkenaan tidak seharusnya label beliau sebagai saiz besar.