RAMALAN awal menjangkakan Datin Seri Umie Aida bakal memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik untuk Festival Filem Malaysia (FFM30) tahun ini menerusi filem Dukun.

Watak berkesan sebagai Diana Dahlan mendapat pujian bukan hanya netizen bahkan pengkritik filem tempatan.

Bagaimanapun, kemunculan Maya Karin menerusi karakter Sakinah dalam filem Munafik 2 baru-baru ini dijangka memberikan saingan sengit buat Umie Aida.

"Apasal Dukun keluar tahun ini juga, tak boleh tunggu ke tahun depan? Nevermind, sebab Kak Umie, saya maafkan," jawabnya berseloroh.

Mengulas lanjut mengenai persaingan antara kedua-dua naskhah seram Munafik 2 dan Dukun, jelas Maya keputusan itu terletak di tangan juri FFM30 kelak.

"Lebih baik kita serahkan penilaian ini kepada barisan juri FFM nanti.

"Sebagai seorang pelakon, saya laksanakan tanggungjawab yang telah diberikan sebaik mungkin," katanya.

Mengimbas kembali, Umie Aida pernah sekali memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik pada FFM16 (2003) menerusi filem Embun.

Sementara Maya pernah dua kali memenangi trofi tersebut untuk filem Anak Halal (2008) dan Ombak Rindu (2012).

Dukun merupakan naskhah arahan Dain Said yang disimpan sejak 2006 hingga akhirnya ditayangkan pada April lalu.


Manakala, Munafik 2 yang baru menjalani penggambaran pada tahun lalu telah memulakan tayangan pada minggu lalu.