KUALA LUMPUR:Kecintaan personaliti terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi terhadap kerja-kerja kemasyarakatan tidak perlu dinafikan.

Sejak sekian lama, beliau yang mesra disapa Pak Nil sentiasa mencari ruang untuk mengejar saham akhirat dengan membantu golongan memerlukan.

Terbaharu, pengacara program realiti Akademi Fantasia itu menyuarakan hasratnya untuk menaja suntikan vaksin COVID-19 kepada golongan yamg memerlukan.

Tegas artis serba boleh itu, beliau bercadang untuk mendapatkan suntikan pandemic berkenaan dengan segera dan sedia membayar kosnya tanpa perlu menunggu giliran.

"Pemberian vaksin itu secara percuma dan berperingkat-peringkat. Keutamaan akan diberikan kepada warga tua dan petugas barisan hadapan. Yang lain perlu mendaftar secara dalam talian dan tunggu giliran. Mungkin lima hingga 10 bulan akan datang.

"Namun, mungkin ada juga peluang untuk dapatkan vaksin dengan cepat dan tak perlu tunggu giliran dengan sedikit bayaran. Saya ingat nak ambil yang berbayar. Ada sesiapa yang nak 'join' saya? Saya akan taja, tapi taklah ramai sebab harga pun tak tahu lagi," kata Aznil dalam hantaran di akaun Instagram peribadinya.

Seperti kelazimannya, hantaran Aznil itu sejak 24 jam lalu mendapat sambutan luar biasa daripada peminat-peminatnya.

Rata-rata netizen merakamkan penghargaan kepada beliau kerana sentiasa mengutamakan kepentingan masyarakat dalam apa sahaja usaha yang dilakukannya.

Dalam usaha untuk mendalami pengetahuan mengenai vaksin COVID-19 juga, Aznil turut mengadakan sesi perbualan secara langsung dengan doktor kelahiran Malaysia yang kini menetap di United Kingdom, Dr Amalina Bakri di akaun Instagramnya baru-baru ini.

Sesi perkongsian itu juga mendapat maklum balas positif daripada lebih 137,000 penonton yang mengikutinya.