B.B King telah sah membatalkan semua siri pertunjukan jelajah Amerika Syarikat selepas jatuh sakit ketika di atas pentas, lapor The Blues Magazine.

Lagenda Blues berusia 89 tahun mula kurang sihat ketika pertunjukan di Chicago dan terdapat laporan tidak rasmi yang mengatakan beliau rebah di atas pentas.

Satu laporan ringkas yang dikeluarkan dipetik sebagai berkata: "B.B King telah dibuat penilaian oleh doktor dan dan disahkan menghidap dehidrasi serta mengalami keletihan, menyebabkan baki lapan persembahan siri jelajahnya sekarang dibatalkan."

April lepas, penonton bertindak meninggalkan persembahan BB King di St Louis, manakala ada juga yang mencemih persembahan veteran Blues itu. Penyanyi tersebut kemudiannya menerusi jurucakap membuat permohonan maaf: "Ia merupakan malam yang buruk bagi salah satu lagenda blues Amerika, BB King memohon maaf dan dengan rendah diri memohon peminat memahaminya."

B.B King atau nama sebenarnya Riley B. King merupakan pemuzik blues Amerika, penyanyi, pencipta lagu dan pemain gitar.

Pada 2011, majalah Rolling Stone meletakkan beliau di nombor enam dalam senarai '100 pemain gitar terbaik sepanjang zaman'. Manakala Gibson meletakkan beliau di tangga ke 17 dalam senarai '50 pemain gitar terbaik sepanjang zaman'.