KUCHING: Filem berbahasa Cina, Barbarian Invasion terbitan Malaysia diangkat sebagai Filem Terbaik pada Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 yang berlangsung, di sini, malam tadi.

Filem terbitan Da Huang Pictures dan Greenlight Pictures arahan Tan Chui Mui itu menewaskan enam filem lain iatu Before, Now & Then dari Indonesia, Ginhawa (Filipina), Prebet Sapu (Malaysia), Kargo (Filipina), Perjalanan Pertama (Malaysia & Indonesia) dan Duan Nago Bogho (Malaysia).

Selain anugerah utama Filem Terbaik, Barbarian Invasion lakonan Chui Mui, Pete Teo, Bront Palarae, James Lee dan Zhiny Ooi itu juga memenangi kategori Lakon Layar Terbaik.

Dua tahun lalu, Barbarian Invasion memenangi trofi Jury Grand Prix pada acara kemuncak Golden Goblet Awards sempena Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF) Ke-24 di Shanghai, China.

Barbarian Invasion antara lain mengisahkan seorang bekas pelakon terkenal yang ingin kembali ke layar perak setelah menjadi ibu tunggal.

Menerima tawaran berlakon filem aksi memerlukannya bergandingan dengan bekas suaminya.

Kecemerlangan karyawan filem Malaysia lain yang turut diiktiraf pada malam AIFFA 2023 ialah seniman veteran, Datuk Ahmad Tamimi Siregar meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi wataknya sebagai Tan dalam filem usaha sama Malaysia-Indonesia, Perjalanan Pertama.

Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dinamakan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik AIFFA 2023 menerusi filem Perjalanan Pertama.

Tidak ketinggalan berpengalaman, Hasnul Rahmat yang membawa watak Ali dalam Jerangkung Dalam Almari pula dinamakan pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Hasnul menewaskan pesaing-pesaingnya iaitu JM San Jose Bautisa menerusi filem The Baseball Player (Filipina), Beto Kusyairi (Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan - Malaysia), Benjamin Alves (Angkas - Filipina)
dan Otig Pakis (The Woman Crowned with a Crescent Moon - Indonesia).

Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pula dimenangi aktres Filipina Max Eigenmann yang memegang watak Sara dalam filem Kargo.

AIFFA 2023 juga mengiktiraf Carlo Obispo dari Filipina sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem The Baseball Player.

Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula disandang aktres Vietnam, Kim B Ngo yang menggerakkan watakKim Bao dalam The Brilliant Darkness

AIFFA 2023 juga menobatkan Roy Lolang dari Indonesia sebagai Pengarah Sinematografi Terbaik menerusi filem The Woman Crowned With A Crescent Moon, manakala filem Faces Of Anne memenangi Suntingan
Filem Terbaik dan Barbarian Invasion (Malaysia) dianugerahkan Lakon Layar Filem Terbaik.

Sementara itu, Anugerah Khas Juri pula diberikan kepada kepada filem Before, Now & Then (Indonesia) dan Fathers (Kemboja).

AIFFA 2023 turut menamakan filem arahan Sabri Yunus, Dua Nago Bogho sebagai penerima Anugerah Semangat Asean; Philip Cheah (Singapura) sebagai penerima Anugerah Ikon Semangat Asean, manakala pengarah tersohor Malaysia, U Wei Saari pula diumumka sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman.

Penyanyi dan pelakon kelahiran Korea Selatan, Jung Ji-hoon atau Rain pula dinamakan sebagai penerima Anugerah Inspirasi Asean.

AIFFA diiktiraf oleh Menteri Pelancongan ASEAN pada 2012 sebagai satu acara untuk mengetengahkan filem ASEAN.