KONTROVERSI yang melanda usahawan terkenal dan bakal calon presiden Amerika Syarikat Donald Trump kini ditambah hangat dengan surat terbuka yang ditulis oleh bekas bintang Ugly Betty, America Ferrera.

Ferrera – yang berketurunan Honduras dan dilahirkan di Los Angeles – menulis surat terbuka bertajuk “Terima Kasih, Donald Trump!”

“Saya tidak mahu hukum anda. Saya akan biarkan rakan kongsi perniagaan anda seperti Univision dan NBC yang mempunyai kuasa untuk menghukum anda. Saya ingin menulis untuk mengucapkan terima kasih,” tulis Ferrera dalam surat berkenaan yang diterbitkan di laman web The Huffington Post.

Ferrera mengucapkan terima kasih kerana kenyataan Trump yang dianggap menghina golongan pendatang Mexico bakal membangkitkan kaum Latin untuk ke pusat pengundian menjelang pilihan raya AS pada 2016.

BACA: Kutuk pendatang, Trump kehilangan ruang siaran Miss Universe di Mexico

“Kenyataan yang dibuat oleh anda akan menggalakkan lebih banyak kaum Latin untuk ke pusat
pengundian dan menolak calon-calon seperti anda atau yang lain yang menggunakan retorik kebencian.

Ferrera turut menjelaskan bahawa kaum Latin merupakan kaum yang paling besar, muda dan kian berkembang di AS.

“Anda menjadi calon Presiden di mana jumlah penduduk kaum Latin meningkat sebanyak 49 peratus dari 2000 hingga 2012, dan di mana kaum lain hanya meningkat sebanyak 5.8 peratus.

“Kami adalah masa hadapan. Umur median kaum Latin adalah 27 tahun manakala umur median kaum kulit putih di AS adalah 42 tahun,” katanya.

Beliau turut berkata Trump tidak akan menang pilihan raya AS tanpa sokongan kaum Latin.

“Trump, anda hidup di dalam fantasi Amerika Syarikat yang sudah ketinggalan zaman,” katanya.

Minggu lepas, rangkaian television utama Mexico memutuskan untuk menghentikan penyiaran pertandingan ratu cantik 'Miss Universe' selepas kenyataan yang dibuat oleh Trump.

Saluran NBC, penyiar Miss USA dan Miss Universe di AS turut membuat keputusan yang sama.

Pada 1 Julai, Macy’s bertindak untuk tidak menjual produk berjenama ‘Donald Trump’ di kedai-kedai miliknya.