KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menyegerakan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang komprehensif bagi memperkukuh hak, perlindungan dan kebajikan golongan lebih tua, seiring dengan peralihan negara ke arah masyarakat menua, kata aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.
Lee yang juga Ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara berkata, individu berusia 60 tahun dan ke atas, kini merangkumi kira-kira 12 peratus daripada populasi Malaysia, yang menuntut komitmen negara yang lebih kukuh terhadap penuaan yang sihat, penjagaan warga emas, perlindungan sosial dan komuniti mesra usia.
Beliau berkata, pendekatan terhadap warga emas juga harus menumpukan kepada usaha untuk membolehkan mereka kekal aktif dan terus menyumbang kepada masyarakat.
“Kita mesti melakukan lebih daripada sekadar menjaga warga emas. Kita mesti memperkasakan mereka. Warga emas kita mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kebijaksanaan berdekad-dekad lamanya.
"Ramai yang masih mampu dan bersedia untuk bekerja, menjadi sukarelawan, membimbing generasi muda, serta menyumbang kepada keluarga dan komuniti mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bersempena dengan Hari Warga Emas Antarabangsa.
Pada masa sama, beliau berkata, perhatian yang lebih besar juga mesti diberikan kepada warga emas yang uzur, tinggal bersendirian, rentan dari segi kewangan, atau bergantung kepada orang lain yang memerlukan perlindungan dan sokongan yang berkesan.
Lee menggesa pendekatan seluruh masyarakat yang lebih kukuh melibatkan kerajaan, keluarga, majikan, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta, dalam menangani keperluan populasi menua.
Selain menyegerakan RUU Warga Emas, beliau berkata, keutamaan harus merangkumi pewujudan lebih banyak komuniti mesra usia dengan kemudahan pejalan kaki, pengangkutan awam, perumahan dan ruang rekreasi yang lebih selamat, serta memperkukuh penjagaan kesihatan, penjagaan jangka panjang dan sokongan berasaskan komuniti untuk golongan warga emas.
Lee berkata, penderaan, pengabaian, eksploitasi dan penipuan kewangan terhadap warga emas juga mesti ditangani dengan lebih tegas, manakala pembelajaran sepanjang hayat, keterangkuman digital dan peluang pekerjaan yang sesuai harus digalakkan bagi warga emas yang ingin kekal aktif.
Beliau turut menggesa perpaduan antara generasi yang lebih kuat, bagi mengelakkan golongan lebih tua daripada terpinggir daripada kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.
“Proses penuaan tidak seharusnya bermakna kehilangan maruah, kebebasan, atau matlamat hidup seseorang. Marilah kita membina sebuah Malaysia, dengan rakyat boleh meniti usia tua dengan selamat, sihat, serta bermaruah dan dengan warga emas kita diiktiraf bukan sahaja atas apa yang mereka perlukan daripada masyarakat, tetapi juga atas apa yang boleh mereka terus berikan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, sebuah negara yang penyayang dan bertamadun diukur melalui cara ia melayan golongan yang paling rentan, termasuk warga emas.
“Pada Hari Warga Emas ini, marilah kita membuat satu komitmen: Tiada warga emas yang patut berasa dilupakan, tidak selamat atau hilang maruah. Marilah kita jadikan penuaan sebagai satu perjalanan yang bermaruah, bermatlamat, dan penuh dengan sumbangan yang berterusan,” katanya.
-- BERNAMA