Pelakon dan penerbit, Samantha Schubert meninggal dunia di Pusat Rawatan Prince Court di sini pada 7.16 petang selepas menderita barah pankreas. Beliau berusia 47 tahun.

Perkara ini disahkan oleh sahabat baik Schubert, pelakon dan penerbit di Catwoman Productions, Susan Lankaster dalam mesej WhatsApp kepada Astro AWANI petang tadi.

"Saya sedang menguruskan urusan pengkebumian buat Schubert sekarang ini," katanya ringkas.

Schubert pernah dinobatkan sebagai Miss Malaysia/Dunia pada 1991 dan mula mendapat tempat di kalangan peminat filem tempatan selepas beliau membintangi beberapa buah filem termasuk ‘Red Scorpion 2’ (1994), ‘Amok’ (1997) dan ‘The Red Kebaya’ (2006).

Beliau turut dikenali sebagai model iklan dan antara yang popular ialah iklan Nescafe Classic pada 1995.

Schubert pernah melanjutkan pelajaran di Lee Strasburg School of Film & Theatre di Los Angeles, Amerika Syarikat, The Beverly Hills Playhouse Los Angeles dan Drama Studio London.