KUALA LUMPUR: Belum mula bersiaran lagi, namun program The Hardest Singing Show (THSS), sudah dihangatkan dengan penarikan diri salah seorang pesertanya, Naim Daniel.

Pihak produksi hanya memaklumkan bahawa mereka hanya menerima e-mail daripada pihak pengurusan Naim Daniel iaitu World Peace Entertaiment pada Isnin.

Ketua saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh memberitahu bahawa pihak produksi masih lagi memberi ruang kepada penyanyi tersebut untuk mempertimbangkan semula tawaran yang diberikan.

"Naim Daniel sangat komited dan sangat teruja untuk menyertai pertandingan ini, tetapi pihak kami terkejut apabila semalam (Isnin) kami menerima e-mail daripada pihak pengurusan Naim bahawa dia ingin menarik diri,

"Namun pihak kami masih lagi membuka ruang untuk Naim mempertimbangkan tawaran tersebut.

"Jika Naim masih tetap dengan keputusannya, kami mungkin tidak akan menggantikan tempatnya dengan mana-mana penyanyi lain dan kekal sahaja dengan sembilan penyanyi," ujarnya.

Norzeha turut memaklumkan bahawa pihak produksi telah menawarkan tempat di dalam pertandingan ini kepada lebih 50 orang penyanyi untuk menyertai THSS.

Pada masa sama, menerusi video temu bual Naim bersama Astro Gempak, pelakon siri i.D itu menyatakan bahawa semua perkara masih dibawah perbincangan pihak pengurusannya. 

"Masih lagi proses perbincangan dengan pihak pengurusan, kalau ada apa-apa update Naim akan beri tahu kemudian,

"The best part yang Naim boleh katakan adalah benda tu daripada pihak pengurusan, sebab Naim tidak kisah untuk bekerja dengan siapa-siapa.. Kita doakan yang baik-baik," ujar Naim.


Selain Naim Daniel peserta yang berjaya disenarai pendekkan dalam program nyanyian ini antaranya Zizi Kirana, Putera Muhammad, Aepul Roza, Ayda Jebat, Aisha Retno dan De Fam.

Peserta akan diadili oleh tiga juri tetap laitu Zizan Razak, Datuk Seri Rossa dan Edry Abdul Halim.

The Hardest Singing Show akan diacarakan secara langsung oleh Rina Nose dan
Nabil Ahmad selama sepuluh minggu bermula 12 Mei 2024 di Pusat Konvensyen CIDB Cheras.