PENYANYI popular, Beyoncé mencipta sejarah apabila berjaya memecah rekod individu paling banyak menerima pengiktirafan Anugerah Grammy sepanjang zaman.

Dengan 32 kemenangannya malam ini -- dalam kategori Rakaman Muzik Tarian/Elektronik, Persembahan R&B Tradisional, Lagu R&B Terbaik dan Album Muzik Tarian/Elektronik -- Beyonce telah mengatasi pencapaian mendiang Georg Solti yang memenangi 31 Grammy.

Sebelum ini, Beyoncé telah meraih 28 anugerah Grammy, dengan kedudukan yang membuatkan beliau menyamai rekod penerbit dan pemuzik Quincy Jones.

Beyoncé juga merupakan artis yang menerima pencalonan paling banyak pada Anugerah Grammy ke-65 dengan sembilan pencalonan.

Bukan itu saja, dia juga menyamai jumlah pencalonan sepanjang zaman bersama suaminya Jay-Z dengan 88 pencalonan.

Selain itu, album Beyoncé berjudul "Renaissance" tercalon untuk kategori Album Terbaik, dan single utamanya "Break My Soul" turut dicalonkan bagi kategori Lagu Terbaik dan Rakaman Terbaik.

Sementara itu, penyanyi Harry Styles juga dinobatkan pemenang kategori Album Vokal Pop Terbaik menerusi album Harry's House.

Bekas anggota kumpulan One Direction itu berjaya menyaingi kumpulan ABBA ( Voyage), penyanyi Adele (30), Coldplay (Music of the Spheres), dan Lizzo (Special).