awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Latvia lapor kerosakan kabel dasar laut di Laut Baltik
Menteri Luar Norway sokong kedaulatan Denmark susulan Trump kembali berminat terhadap Greenland
Indonesia zahir kebimbangan terhadap perkembangan terkini di Venezuela
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Che Kem dan visi auteur: Membentuk kepimpinan wanita sebagai tindakan etika dalam Muzikal Paduka Cik Siti

Zahari Hamzah
Zahari Hamzah
04/01/2026
04:30 MYT
Che Kem dan visi auteur: Membentuk kepimpinan wanita sebagai tindakan etika dalam Muzikal Paduka Cik Siti
Cik Siti Wan Kembang meratapi diatas keputusan baginda mengahwini Saadong menyebabkan Siam menyerang Tanah Serendah Sekebun Bunga.
MUZIKAL Paduka Cik Siti (PCS) telah menggegar Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, bukan sekadar sebuah pementasan sejarah, tetapi sebagai pernyataan artistik yang jelas tentang kepimpinan wanita, kuasa, dan etika pemerintahan.
Di tangan Mohd Kamarulzaman Taib atau lebih mesra dipanggil Che Kem, figura Cik Siti Wan Kembang dihidupkan semula tidak lagi sebagai legenda seperti dalam naratif silam, tetapi sebagai subjek dramatik yang berfikir, beremosi dan berfungsi sebagai pemimpin.
Pendekatan ini menempatkan Che Kem dengan jelas dalam tradisi pengarahan auteur, di mana pengarah bukan sekadar penyelaras produksi, tetapi pengarang utama makna pementasan.
Visi auteur, yang dimaksudkan merujuk kepada pandangan artistik dan ideologi peribadi seorang pengarah yang menjadi teras kepada keseluruhan sesebuah karya, sama ada dalam konteks teater, filem mahupun teater muzikal.
Dalam pendekatan ini, pengarah PCS tidak lagi dilihat sekadar sebagai penyelaras teknikal yang mengatur elemen-elemen produksi, tetapi berfungsi sebagai “pengarang makna” yang membentuk identiti, hala tuju dan tafsiran karya secara menyeluruh.
Secara asasnya, visi auteur membawa pengertian bahawa sesebuah karya seni persembahan itu mengandungi suara, pemikiran dan pendirian pengarah yang dapat dikesan dengan jelas.
Penonton dapat merasai Che Kem secara sedar menolak pendekatan komersial yang lazim dalam muzikal arus perdana.
Sebaliknya, beliau menyaring para pemain untuk membangunkan pementasan berasaskan keupayaan sebenar pelakon untuk menyanyi secara langsung, berlakon menari, dan berpancak silat sebagai satu entiti dramatik.
Keputusan ini bukan sekadar teknikal, tetapi ideologikal Che Kem bagi menegaskan kejujuran persembahan sebagai asas kepercayaan penonton.
Konflik dramatik
Dalam kerangka visi auteur, pengarah sering diletakkan setara dengan penulis kerana beliau berfungsi sebagai ‘pengarang makna’ yang menyatukan keseluruhan sistem pementasan.
Walaupun muzikal ini dihasilkan daripada skrip Roziah Adama dan Khairunazwan Rodzy, muzik ciptaan Suflan Faidzal Arshad, lirik nukilan Dr. Hairul Anuar Harun, kerja-kerja koreografi oleh Alla@Azura Abal Abas dan Faillul Adam, serta pancak silat dan adegan pertarungan dikelola dengan berseni oleh Adieyka Zainal yang juga bertanggungjawab sebagai penolong pengarah.
Namun kesemua elemen ini akhirnya disatukan di bawah satu visi konseptual yang berpaksikan pemikiran pengarah.
Hasilnya, penonton tidak sekadar mengikuti alur cerita atau menikmati kecekapan teknikal persembahan, tetapi turut ‘merasai’ sudut pandang pengarah melalui naratif PCS disusun, watak-watak dibentuk dan konflik ditafsirkan.
Setiap keputusan artistik sama ada dalam muzik, gerak tubuh, tempo dramatik atau keheningan berfungsi sebagai lanjutan kepada gagasan pengarah tentang dunia Tanah Serendah Sekebun Bunga yang di pentas pada 19 hingga 21 Disember 2025.
Di sinilah visi auteur Che Kem menjadi jelas kerana ia tidak bergerak sebagai himpunan disiplin berasingan, tetapi sebagai satu sistem makna yang padu, terarah dan berfikir.
Tahniah buat Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan dan Persatuan Alumni ASWARA yang berjaya menghsailkan sebuah persembahan muzikal yang cukup bergaya dengan menghimpunkan seramai 250 tenaga produksi dan kreatif untuk bersama-sama menjalankan amanah daripada sokongan kewangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Che Kem membina konflik dramatik PCS tanpa bergantung kepada nama sensasi atau ledakan populariti media sosial.
Raja Prasat Thong (Eijat Asari) mendapat berita tentang kejelitaan Cik Siti Wan Kembang dan teruja untuk dijadikan permaisurinya.
Raja Prasat Thong (Eijat Asari) mendapat berita tentang kejelitaan Cik Siti Wan Kembang dan teruja untuk dijadikan permaisurinya.
Integriti artistik
Sebaliknya, beliau memilih pendekatan berteraskan kredibiliti artistik dengan menghimpunkan barisan pelakon yang berwibawa dan berdisiplin untuk menggalas tuntutan sebuah pementasan muzikal yang serius.
Pemilihan Asmidar sebagai Cik Siti Wan Kembang dan Taqim Zaki sebagai Panglima Merah menjadi paksi utama kepada pembinaan konflik emosional dan dramatik, disokong dengan persembahan yang padu oleh Dr. Norzizi Zulkifli sebagai Bonda Sri Banun dan Eijat Asari sebagai Raja Prasat Thong yang memperkukuh dimensi kuasa dan pertentangan ideologi dalam naratif PCS.
Barisan pendokong watak-watak dalam PCS berhasil melahirkan kesan estetik melalui ekspresi lakonan, gestur tubuh, vokal yang terkawal, kesepaduan muzik, dan rekaan visual yang membentuk pengalaman emosi mendalam kepada penonton, bukan aksi luaran.
Justeru, kehadiran mereka di pentas menambah rencah dan warna untuk menyokong plot cerita.
Antaranya Syukor Ibrahim Bachik (Raja Ahmad), Serra Kamal (Puteri Saadong), Zaidyansjah (Putera Narai), Amer Ariff (Panglima Takok), Sara Sulaiman (Cahaya), Yusmar Yusof (Bendahara), Aloeng Silalahi (Raja Husein/Tok Sami Mor Doo), Marzuki Noh (Sri Maharaja/Raja Loyor), Aiman Mazrae (Temenggong), Muhammad Ibrahim (Bentara), dan Awang Tanjak (Syahbandar) melengkapkan struktur dramatik pementasan dengan lakonan yang berfungsi, terkawal dan konsisten.
Keseluruhan ensembel ini tidak diposisikan sebagai tarikan popular semata-mata, tetapi sebagai medium yang mengartikulasikan visi pengarahan Che Kem di mana setiap watak tidak dibazirkan seperti kehadiran Danish Miqhail (Panglima Channarong), Mamad Samsudin (Pedagang Arab/Pembesar Siam) berperanan memperkukuh tema kepimpinan, kuasa dan etika pemerintahan PCS.
Malahan kesan estetik yang bersifat intimate, dapat dirasai oleh penonton ketika adegan kemangkatan Raja Ahmad.
Penonton menjadi saksi kepada monolog batin Peratib Muda lakonan Hafizam melalui kualiti vokal, ekspresi wajah, gestur menjadikan emosi watak ‘hidup’ dan menyakinkan.
Pencahayaan malap berfokus sportlight tunggal mengasingkan watak Peratib Muda daripada ruang sekeliling, melambangkan keterasingan dan konflik dalaman bakal tercetus di Tanah Serendah Sekebun Bunga.
Pendekatan ini memperlihatkan dengan jelas bahawa PCS dibangunkan bukan atas strategi pasaran jangka pendek, tetapi atas kepercayaan terhadap keupayaan sebenar pelakon sebagai pembawa makna.
Melalui disiplin lakonan, nyanyian langsung dan kesatuan ensembel, Che Kem menegaskan bahawa kekuatan muzikal ini terletak pada integriti artistik dan kejujuran persembahan, bukan pada sensasi di luar pentas.
Kepimpinan Cik Siti, yang dibawakan oleh Asmidar, tidak dizahirkan melalui gestur besar atau dominasi vokal, sebaliknya melalui postur, jarak, tempo dan kawalan ruang.
Hal ini sama turut diterapkan pada watak Panglima Merah, Cahaya, Putera Narai, Panglima Takok dan Bonda Sri Banun, tiada satu pun watak yang hadir secara kebetulan atau sekadar hiasan visual.
Setiap perlakuan gestur tubuh dan aksi tindakan di pentas berfungsi menyokong idea pusat pengarah. Keseragaman inilah yang membolehkan pementasan ini dikenali bukan semata-mata melalui naratifnya, tetapi melalui cara ia berfikir dan berfungsi sebagai satu sistem makna.
Pengarah dengan pendekatan artistik yang berpaksi kepada makna sering berdepan dengan risiko pasaran demi keteguhan estetika dan intelektual dalam pemilihan pelakon berdasarkan disiplin lakonan, keupayaan vokal dan kesesuaian ideologi, serta penolakan kesan dramatik berlebihan yang boleh mengaburkan kejujuran emosi.
Justeru, karya yang lahir daripada visi auteur tidak berfungsi sebagai hiburan semata-mata, tetapi sebagai pernyataan pemikiran yang mengandungi komentar budaya, refleksi sosial serta pendirian etika atau politik.
Perbezaan antara pengarahan konvensional dan pengarahan berasaskan visi auteur menjadi ketara apabila teks yang sama dipentaskan.
Jika pengarahan konvensional cenderung menekankan kesetiaan terhadap kronologi dan struktur asal, pengarahan auteur pula bermula dengan persoalan makna dan apakah nilai yang ingin dibicarakan dalam konteks semasa.
Seluruh bentuk, gaya dan tafsiran karya kemudian dibangunkan untuk menjawab persoalan tersebut.
Kesimpulannya, visi auteur merupakan kesatuan idea, gaya dan nilai yang berpunca daripada pengarah dan menguasai keseluruhan pementasan, sehingga karya itu dapat dikenali melalui cara ia berfikir, bergerak dan berbicara, walaupun tanpa mengetahui identiti pengarahnya.
Muzik dalam PCS tidak berfungsi sebagai hiasan emosi, tetapi sebagai lanjutan pemikiran dramatik pengarah.
Lagu seperti Rahmat Kemasyhuran (lirik Dr. Hairul Anuar Harun) digarap sebagai alat legitimasi kuasa bukan melalui pujian kosong, tetapi melalui pengesahan kolektif pembesar dan pedagang terhadap keberkesanan pemerintahan Cik Siti.
Kesan estetik babak dalam lagu Lalu Hangus Surut Layu, terhasil melalui gabungan muzik melankolik, vokal ekspresif menjadi monolog dalaman yang berlapik dibawa oleh Asmidar dan pencahayaan minimalis direka oleh Naque Ariffin.
Namun, Che Kem tidak membenarkan emosi dilepaskan secara eksplosif; sebaliknya, beliau membentuk lengkung emosi secara bertahap, membolehkan penonton memasuki ruang psikologi seorang pemerintah wanita yang terhimpit antara amanah negara dan keinginan peribadi.
Di sini, pengarahan Che Kem memperlihatkan kefahaman mendalam tentang muzik sebagai struktur makna, bukan sekadar ekspresi perasaan.
Che Kem sebagai Auteur Muzikal Melayu
Sebagai pengarah, Che Kem muncul sebagai auteur yang jelas dalam PCS.
Beliau bukan sekadar mementaskan sejarah, tetapi menulis semula maknanya melalui bahasa pentas.
Kepimpinan wanita tidak dipersembahkan sebagai pengecualian atau simbol feminisme retorik, sebaliknya sebagai amalan etika yang berfungsi dalam sistem sosial dan politik.
Pendekatan pengarahan ini mengangkat PCS melangkaui status hiburan muzikal kepada sebuah karya teater yang berfikir dan karya yang memperlihatkan bahawa apabila pengarah mempunyai visi yang jelas, disiplin artistik yang tegas dan keberanian menolak kompromi komersial, teater muzikal Melayu mampu berdiri sebagai medan wacana budaya yang matang, tulen dan berpanjangan dalam ingatan penonton.

* Zahari Hamzah merupakan sarjana Pengajian Persembahan UPSI, pengkritik teater dan pernah mengarah teater Muzikal Pak Pandir, dramatari Awang Sulung Merah Muda di Dewan Filharmonik PETRONAS serta penulis skrip Muzikal Pak Pandir Muzikal Dan Muzikal Deman Lebar Daun.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Topic Berkaitan
#Paduka Cik Siti
#visi auteur
#Mohd Kamarulzaman Taib
#Che Kem
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan