Skip to main content

Malaysia

Suami didakwa kes tipu: Azar Azmi mohon ruang

https://www.sinarharian.com.my/article/771310/berita/semasa/suami-didakwa-kes-tipu-azar-azmi-mohon-ruang
Azar Azmi hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban bagi mengikuti prosiding kes suaminya yang berdepan dua pertuduhan menipu. - Foto Sinar Harian

SEREMBAN: "Saya minta maaf ya, kalau boleh bagi ruang kepada saya. Insya-ALLAH, kalau ada apa-apa saya beritahu."

Demikian kenyataan ringkas daripada pelakon Azar Azmi atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi,35, ketika disapa pemberita di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Advertisement

Pelakon terbabit yang memakai jubah dan tudung berwarna hitam tiba sekitar jam 10 pagi ditemani dua remaja dipercayai anaknya.

Dia hadir untuk mengikuti prosiding kes suaminya yang berdepan dua pertuduhan menipu atas urusan mendapatkan darjah kebesaran Datuk dan tanah kurniaan negeri Selangor melibatkan kerugian keseluruhan RM293,931 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, suaminya Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa atas pertuduhan didapati dengan curangnya telah menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara atas talian ke akaun bank milik seorang wanita berusia 35 tahun.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat pembayaran wang sebanyak RM23,120 untuk urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang tidak wujud.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Dato' Bandar Tunggal dan sebuah pejabat di Seremban 2 antara 2 April hingga 12 November 2025.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pelakon berkenaan dibebaskan polis sekitar jam 8 pagi pada Rabu.

"Dia dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes.

"Saya difahamkan pasangan ini turut disiasat  berhubung kes tipu pelaburan jual lembu di Kuala Lumpur dan masih menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan," katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video