Penyanyi tanah air yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna tampil dengan single terbarunya, 'Crush' berkolaborasi dengan penyanyi antarabangsa, Usher.

Kolaborasi mereka dalam lagu Crush adalah satu penyatuan yang indah dengan dendangan berjiwa Yuna dan Usher.

Lagu ini muncul selepas single, Places To Go, yang dimuat naik di laman YouTube menerusi saluran YouTube rasmi Yuna iaitu YunaVEVO.

Ia juga bakal menjadi lagu pertama dalam album terbaharunya, Chapters.

Menerusi laman Instagramnya, Yuna berkata single terbaharunya, Places To Go dan Crush boleh didapati di iTunes mulai Jumaat lalu.

“Teruskan sokongan kepada pemuzik tanah air dengan membeli lagu saya dan bukannya memuat turun secara cetak rompak,” tulis Yuna.

Menurut portal The Fade, album terbaharu Yuna, Chapters akan dilancarkan pada 20 Mei ini.

Yuna juga bakal mengadakan persembahan jelajah Amerika Syarikat dan Eropah pada April ini selain di Berlin, Amsterdam, Paris, New York dan Los Angeles.

Pastinya peminat Yuna di Malaysia tidak sabar akan kemunculan album terbaru Yuna.



Rata-rata peminat Yuna juga tidak melepaskan peluang untuk berkongsi reaksi mereka di media sosial.