Astro memperkenalkan program realiti terbaharunya, Dansa Dan Sing yang menggabungkan elemen tarian dan nyanyian melibatkan 10 barisan artis dan selebriti media sosial.

10 artis dan kumpulan terlibat ialah Arja, Atilia Haron dan Yasmin Hani, Chubb-E, Nik Qistina, Raja Syahiran, Shiha Zikir, Sophia Liana, Wani Kayrie, W.A.R.I.S, dan Harris Baba.

Guru tari dan koreografer, Linda Jasmine Hashim serta pereka fesyen Datuk Rizalman Ibrahim tampil menjadi juri tetap musim pertama.



Seorang juri jemputan profesional juga akan diundang khas pada setiap minggu.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, format penjurian adalah 70 peratus tarian dan 30 peratus nyayian, manakala kedudukan tiga terbawah akan ditentukan oleh pengundian penonton.

"Jadi ada dua iaitu undian penonton dan undian juri. Undian penonton menentukan siapa bottom three bottom three itu kita ambil dari markah juri pula. Siapa yang mendapat markah terendah dari juri akan disingkirkan," katanya semasa ditemui Astro AWANI selepas pelancaran dan sidang media program Dansa Dan Sing di sini Selasa.

Pemilihan Datuk Rizalman sebagai juri tetap juga dibuat memandangkan beliau adalah pilihan tepat yang bukan sahaja menjurus kepada nyayian dan tarian tetapi juga secara keseluruhannya terutama melibatkan penampilan peserta.

"Ia sebenarnya sebuah koreografer untuk semua termasuk dari segi pemakaian dan sebagainya. Jadi pemilihan beliau sebagai juri adalah tepat," jelasnya.

Setiap peserta yang bertanding turut diiringi koreografer dan kru tarian atau troopers pilihan masing-masing.

Program Dansa Dan Sing akan disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) serta boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand.

Klip sedutan aktiviti perkembangan peserta ketika persiapan dan latihan menjelang konsert mingguan dapat ditonton melalui liputan harian Kapsul Dansa Dan Sing setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 6.30 petang bermula 30 Disember ini.

Konsert mingguan Dansa Dan Sing bakal disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setiap Ahad jam 9 malam bermula 5 Januari depan.

Dansa Dan Sing akan dihoskan Sherry Al Hadad dan seorang lagi selebriti yang menjadi pengacara bersama.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Tempat kedua RM50,000, ketiga RM25,000, keempat RM10,000 dan kelima RM5,000 berserta trofi.