Skip to main content

Malaysia

Polis tumpas sindiket perjudian dalam talian sasar warga Australia

Mohd Alwi (dua, kiri) menunjukkan peralatan elektronik yang dirampas susulan penahanan sindiket penipuan perjudian atas talian pada sidang media di IPK Perak di Ipoh, hari ini.  -- fotoBERNAMA
Mohd Alwi (dua, kiri) menunjukkan peralatan elektronik yang dirampas susulan penahanan sindiket penipuan perjudian atas talian pada sidang media di IPK Perak di Ipoh, hari ini. -- fotoBERNAMA

Advertisement

IPOH: Polis menahan enam lelaki tempatan dipercayai terlibat sindiket penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan mangsa warga Australia dalam serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat di Kamunting, Taiping pada Selasa lepas.  

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek berusia 22 hingga 31 tahun itu ditahan pada 8.05 malam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Beliau berkata polis merampas 18 telefon bimbit pelbagai jenama yang menggunakan talian Telco Australia, monitor komputer (10), cip pemprosesan komputer (enam) dan satu router dianggarkan bernilai RM35,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini mula beroperasi pada Julai lepas dan menggunakan platform media sosial seperti Telegram serta WeChat untuk berhubung dengan mangsa.

“Mereka menggunakan pelbagai platform perjudian dalam talian dengan bayaran pakej antara AUD30 hingga AUD200 yang diterima melalui akaun bank Australia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Mohd Alwi berkata semua suspek berperanan sebagai ejen mencari pelanggan dan mempromosikan perjudian itu dengan gaji dianggarkan RM6,000 hingga RM10,000 sebulan. 

Semua mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kini direman hingga 24 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 serta Seksyen 120 (b) Kanun Keseksaan. 

Beliau menyeru orang awam agar tidak sesekali membantu rangkaian sindiket termasuk dalam urusan menyewa premis kediaman atau membekalkan peralatan komunikasi kepada pihak terlibat. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement