Bagi peminat sukan bola sepak, peluang menyaksikan perlawanan secara langsung pasti tidak akan dilepaskan.

Peluang yang jarang sekali diperoleh itu juga digunakan sebaiknya oleh Imam Muda (IM) Asyraf yang merupakan seorang peminat bola sepak tegar.

IM Asyraf baru-baru ini berpeluang menyaksikan perlawanan bola sepak El Clasico di antara Real Madrid dan Barcelona pada Sabtu bersama puluhan ribu peminat sukan di Stadium Santiago Bernabeu, Sepanyol.

IM Asyraf bergambar di hadapan Stadium Santiago Bernabeu di mana perlawan bola sepak berlangsung.
Asyraf bergambar di hadapan Stadium Santiago Bernabeu. -Instagram imammudaasyraf

Menerusi laman media sosialnya, IM Asyraf memberitahu dia selamat tiba di Barcelona pada Khamis, dan memuat naik gambar-gambar di Instagram seperti muka depan akhbar tempatan “De Telegraaf”, bangunan bersejarah iaitu Gereja Sagrada Familia, dan lokasi tarikan pengunjung lain seperti La Rambla, dan Plaza Espana.

Sebagai peminat bola sepak, tentunya tidak lengkap jika tidak berkunjung ke stadium-stadium bola sepak bertaraf dunia di Sepanyol.

Pada hari kedua di sana, IM Asyraf sempat ke Stadium Camp Nou yang menjadi rumah kepada pasukan terkemuka, FC Barcelona sejak mula dibuka pada tahun 1957.

Kemuncak lawatan IM Asyraf di Sepanyol, pastinya menyaksikan perlawanan bola sepak El Clasico secara langsung dengan merasai sendiri sorakan 80,000 penyokong Real Madrid yang menghangatkan stadium.

IM Asyraf turut memuat naik gambar bekas pemain Perancis, yang kini merupakan jurulatih Real Madrid Castilla, Zinedine Zidane serta video pemain-pemain Real Madrid yang tiba di stadium dengan bas, seperti Cristiano Ronaldo, Sergio Ramos, Pepe, Karim Benzema dan James Rodriguez.

imam muda asyraf
Asyraf gembira dapat menyapa pemain legenda Zinedine Zidane. -Instagram imammudaasyraf

"Dapat tegur Zinedine Zidane kat tingkap kereta pun jadilah... #MemberLama," tulisnya di akaun Instagram sambil menitipkan gambar legenda bola sepak itu berlalu di hadapannya di dalam sebuah kereta.

Tidak ketinggalan dengan trend semasa, IM Asyraf juga sempat merakam beberapa gambar selfie di Stadium.

IM Asyraf bergambar
Asyraf bergambar selfie di Stadium. -Instagram imammudaasyraf

Dalam perlawanan tersebut, Real Madrid menang 3-1 menentang Barcelona dalam pertemuan pertama dua pasukan gergasi itu pada Sabtu.