PENYANYI dan komposer sensasi, Ed Sheeran tampil dalam persembahan pertamanya di rantau Asia selepas berehat akibat kemalangan basikal yang dialaminya bulan lalu.

Dalam kemalangan itu, penyanyi kelahiran Britain itu dilaporkan sedang berbasikal menuruni bukit di Suffolk.

Sheeran, 26 tahun, mengalami kecederaan apabila tangannya patah.

Menerusi satu muat naik dalam akaun Instagramnya pada Ahad, Sheeran mengakui tangannya masih sakit dan kemudiannya menunjukkan rasa lega selepas mengenakan semula ‘alat penyokong pergelangan tangan’ selepas persembahan beliau berakhir.

"It still aches, but I'm able to play shows now, so I'm happy about that." (Ia masih sakit, namun saya gembira kerana masih mampu membuat persembahan).

Kenyataan itu dibuat dalam video Instagram yang dimuat naik sempena konsert pertamanya dalam siri jelajah Asia di Singapura.


First show back x

A post shared by Ed Sheeran (@teddysphotos) on



Konsert selama 90 minit yang diadakan di Stadium Tertutup Singapura itu dihadiri 10,000 penonton.

Sheeran cukup menghiburkan ketika menyampaikan lagu-lagu hits beliau termasuk, Photograph dan Thinking Out Loud.

Wujud spekulasi sebelum ini yang mendakwa Sheeran mungkin membatalkan atau menangguhkan jelajah Asianya akibat kemalangan berkenaan.

Mungkinkah Sheeran akan menanggalkan 'bandage' tangannya dalam konsert di Kuala Lumpur malam esok?

Sama-sama kita nantikan!