Penyertaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ke European Film Market (EFM) Berlin membuahkan hasil apabila filem Malaysia mulai mendapat tempat dan perhatian penggiat filem antarabangsa dalam festival yang memasuki hari kedua ini.

Filem aksi The Vikingdom dan filem animasi Ribbit keluaran KRU Studios mendapat perhatian penggiat filem antarabangsa apabila pengedar filem dari kira-kira 80 negara termasuk dari Asia, Timur Tengah dan Eropah telah membeli hak pengedaran filem itu.

Norman Abdul Halim, Presiden Eksekutif KRU Studios menyifatkan perkembangan positif ini membuka sinar baharu kepada industri filem negara dan 'tapak' yang ada ini boleh membantu memajukan penerbit filem tempatan di masa depan.

"Kejayaan filem Merong Mahawangsa (The Malay Chronicles) dahulu telah membantu kami untuk lebih dikenali dan sememangnya pembeli filem antarabangsa menunggu hasil tangan kami yang baharu ini.

"Ini semua tidak akan hadir tanpa inisiatif kerajaan melalui Finas yang berusaha keras mengetengahkan produk keluaran negara kita menerusi penyertaan dalam festival ini," katanya ketika ditemui wartawan Malaysia di sini.

Norman menjelaskan strategi pemasaran yang bagus merupakan kunci kejayaan mereka selain berani mengambil risiko untuk mengeluarkan filem daripada pelbagai genre mengikut selera pasaran antarabangsa.

"Kita kena cari "serious buyer" dan mereka yang benar-benar mampu mengedarkan filem kita untuk berjaya di pasaran. Ini antara risiko yang kita perlu ambil," katanya.

Menurutnya The Vikingdom dan Ribbit dijangka ditayangkan di Malaysia dalam tempoh Oktober hingga November.

Selain filem keluaran Kru Studios, turut dipamerkan di Gerai Finas yang berkampung di Hotel Marriot Berlin ini adalah sedutan filem Hanyut sentuhan U-Wei Shaari, Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, produk daripada Afdlin Shauki seperti Papadom 2, Pontianak vs Orang Minyak dan Berani Punya Budak.

Sementara itu, Pengerusi Finas Datuk Md Afendi Hamdan Sabtu mengunjungi ruang pameran penerbit asing seperti Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) dalam usaha mengadakan kerjasama memajukan industri filem masing-masing.

Jelasnya, perbincangan dan proses bertukar pandangan ini penting bagi berkongsi kepakaran yang ada.

Beliau turut ditemuramah media asing yang berminat mengetahui strategi kerajaan membantu membangunkan industri filem tempatan selain rancangan jangka panjang Finas mengetengahkan filem tempatan ke pasaran antarabangsa.

EFM adalah antara pasaran filem terbesar di dunia dan platform pertemuan pemain industri utama dunia bagi filem antarabangsa.

Festival tahunan ini juga merupakan pameran perdagangan yang mengumpulkan pengedar, pembeli filem,, pengeluar, pembiaya dan ejen pengeluaran bersama.

Festival diadakan serentak dengan Festival Filem Antarabangsa Berlin juga dikenali sebagai Berlinale, satu daripada festival filem terkemuka di dunia dan terkenal dengan pelbagai acara membabitkan industri filem antarabangsa.