FILEM arahan pertama Jin Ong berjudul Abang Adik terus melakar sejarah di Taiwan apabila menjadi filem Malaysia pertama yang mencatat rekod pecah panggung dengan kutipan NT$40 juta (RM6.5 juta).

Ong yang merupakan anak kelahiran Taiping, Perak tidak dapat menahan sebak sebaik saja diumumkan tentang berita berkenaan daripada pihak penayangan filem di Taiwan.

"Saya menangis kerana tiga hari pertama tayangan filem ini pun kami berjaya meraih RM2.2 juta. Semasa di Taiwan saya juga menangis selepas mendapat berita itu. Semua filem Malaysia yang pernah ditayangkan di Taiwan sebelum ini masih tiada rekod ini.

"Sebenarnya saya juga takut untuk tayangkan filem Abang Adik di sana kerana ia mungkin jadi seperti filem-filem lain sebelum ini. Tapi, sejak ditayangkan, ia sering diperkatakan penonton di sana.

"Disebabkan itu perasaan kami sudah berubah, tapi tidak menyangka boleh meraih kutipan yang baik hanya selepas tiga hari ditayangkan. Jadi, apabila tadi pihak dari Taiwan maklumkan kepada saya mengenai perkara ini, saya sangat seronok," katanya kepada Gempak.

Ong ditemui pada sesi tayangan dan sidang media filem Abang Adik di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Terdahulu, filem Abang Adik yang ditayangkan di Taiwan bermula 1 Disember lalu mendominasi carta pecah panggung negara itu pada minggu pertama dengan kutipan sebanyak NT$15mil (RM2.22 juta), sekali gus dianggap kutipan tertinggi untuk filem Malaysia.

Abang Adik mengisahkan dua lelaki tanpa dokumen mengharungi kehidupan miskin di Malaysia, selain menjadi filem tempatan yang menggambarkan kehidupan di sebuah sudut tersembunyi di Kuala Lumpur.

Filem berkenaan berkisar kehidupan dua anak yatim piatu lakonan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Kang Ren Wu. Mereka hidup tanpa dokumen dan tinggal di Pudu, Kuala Lumpur iaitu kawasan yang terkenal dengan pasar basah.

Latar filem di kawasan Kuala Lumpur yang kurang dikenali menambahkan keaslian dan keunikan naratifnya, menjadikannya satu naskhah penting dalam industri perfileman Malaysia.

Bulan lalu, Kang Ren memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Golden Horse Ke-60 untuk peranannya sebagai lelaki bisu dalam filem itu.

Filem itu juga mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama yang menyapu bersih tiga hadiah utama di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April lalu.

Naskhah itu juga berjaya membawa pulang trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik.

Filem Abang Adik dijangka memulakan tayangan pada 14 Disember di 82 pawagam seluruh negara.

*Artikel asal yang disiarkan di Gempak