Filem pro-Palestin, 'American Doctor', sentuhan pengarah Malaysia berjaya tembusi Festival Filem Sundance

American Doctor mengisahkan tentang tiga doktor warga Amerika berketurunan Palestin berlainan bangsa membantu rakan sejawat mereka di Gaza. Gambar American Doctor.
KUALA LUMPUR: Dokumentari pro-Palestin, American Doctor arahan pembikin filem tempatan Poh Si Teng, bakal ditayangkan di Festival Filem Sundance 2026 di Utah, Amerika Syarikat.
Menurut Si Teng, yang berasal dari Pulau Pinang, latar belakang kehidupan serta pendidikan di Malaysia telah membentuk nilai kemanusiaan yang menjadi teras kepada pembikinan filem tersebut.
Tambahnya, sokongan Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan awal filem itu sekali gus mencerminkan komitmen negara terhadap penceritaan kemanusiaan dan solidariti bersama rakyat Palestin.
“Nilai-nilai yang saya hayati semasa membesar di Malaysia, bersolidariti bersama individu-individu lain dan bertindak dengan berpandukan hati nurani, adalah inti pati filem ini.
“Saya amat berbangga kerana rakyat Malaysia mempercayai filem ini sejak awal lagi, kedermawanan merekalah yang memungkinkan American Doctor direalisasikan,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan hari ini.
Untuk rekod, Si Teng merupakan calon Anugerah Oscar menerusi St. Louis Superman serta pemenang Anugerah Emmy baru-baru ini sebagai penerbit eksekutif Patrice: The Movie.
Filem tersebut diiktiraf sebagai produksi bersama Malaysia bersama rakan penerbit dari Amerika Syarikat, Palestin, Qatar dan Denmark.
Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) Jismi Johari, yang juga penerbit eksekutif bersama filem, berpendapat filem itu sebagai jambatan penting untuk advokasi masyarakat global untuk memahami realiti di Gaza.
Jismi turut berkongsi pengalaman kerjasama dengan Si Teng yang disifatkannya begitu mendalami keadaan lapangan di Gaza dan zon krisis yang lain.
“Saya memahami betapa sukarnya merakam realiti sebenar yang berlaku di sana serta risiko besar yang diambil kru untuk mendokumentasikan detik-detik ini.
“Saya yakin Si Teng ialah individu yang tepat untuk menceritakan kisah ini dengan kejujuran yang sewajarnya,” kata Jismi.
American Doctor mengisahkan tentang tiga doktor warga Amerika berketurunan Palestin, Yahudi dan Majusi (Zorostrian) berkhidmat di Gaza dan mempertaruhkan nyawa mereka dengan memperjuangkan nasib rakan sejawat mereka di Palestin.
Penerbit bersama Mohammed Sawwaf dan pengarah sinematografi Ibrahm Al Otla yang berpangkalan di Gaza turut memainkan peranan penting dalam pembikinan filem tersebut.
Kedua-duanya turut menyatakakan rasa bangga dapat terlibat dengan projek disokong oleh Malaysia agar kisah tentang Gaza dan rakyatnya disampaikan dengan penuh ketelitian, ketepatan dan maruah.
“Saya amat berterima kasih atas sokongan Malaysia. Rakyat Malaysia secara konsisten mendengar kisah Palestin dengan empati dan kejelasan moral,” kata Sawwaf.
Antara penerbit bersama eksekutif ialah Datin Paduka Marina Mahathir, Imran Idzqandar bertindak sebagai penerbit impak, dengan sokongan Datuk Seri Kalimullah Hassan, Datuk Hamdan Majeed, Nurul Izzah Anwar dan Khairy Jamaluddin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


