Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) selaras dengan keputusan kerajaan membenarkan semua filem dipertandingkan dalam semua kategori tanpa pengasingan bahasa.

Finas dalam kenyataan menerusi akaun Facebook pada Rabu malam berkata mekanisme baharu itu diwujudkan susulan pengumuman yang dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkaitan penyertaan kesemua filem Malaysia tanga pengasingan dan kewujudan anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan.

Mekanisme baharu yang diwujudkan oleh Finas ialah bagi Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan, calon-calon akhir bagi kategori ini adalah lima buah filem daripada calon filem Terbaik FFM28 yang menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Selain itu, tiga kategori yang diumumkan sebelun ini, iaitu Filem Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Malaysia), Pengarah Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Malaysia) dan Lakonlayar Terbaik (Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia) akan dimansuhkan.

Sementara itu, calon-calon akhir bagi kategori yang dimansuhkan secara automatik dipertandingkan bersama calon-calon sedia ada di dalam kategori Filem Terbaik FFM28 dan Lakonlayar Terbaik FFM28.

Kategori-kategori lain di dalam FFM28 adalah kekal dan tidak berubah.

"Semoga dengan perubahan ini memberi pencerahan dan menjada kepada kecemerlangan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-28 tahun ini dan diraikan dengan penuh semangat seluruh warga industri.

BACA: FFM28: Pembahagian kategori utama mengikut bahasa dipalit kontroversi

BACA: Festival Filem Malaysia ke-28 perkenal dua kategori baharu

BACA: FFM: Tiada beza filem Bahasa Malaysia atau Bukan Bahasa Malaysia - KP Finas


BACA: Saya akan teliti isu kontroversi FFM28 - Salleh Said

"Finas dengan ini sedia memberi maklumbalas dari semasa ke semasa berkaitan perkembangan penganjuran FFM28," kata Finas.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memutuskan penyertaan bagi Anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FMM) September ini dibuka kepada semua penggiat industri filem di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kementerian itu turut mewujudkan kategori baharu Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan pada FMM anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak termasuk penggiat industri filem dan orang awam.