Pelakon dan pelawak terkenal tanahair, Harith Iskander hari ini membuat laporan polis selepas gambar anaknya disalahguna dalam satu laman portal lucah.

Laman tersebut telah memuatnaik gambar anaknya yang diambil dari akaun media sosial Facebook milik Harith kelmarin.

Harith hadir membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada pukul 10 pagi.



BACA: Harith Iskander jijik gambar anak sendiri di laman web lucah

Menurut Harith laporan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berulang kejadian serupa.

Sebelum itu, pada malam Rabu Harith turut telah menghubungi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memaklumkan perkara tersebut.

Harith mengakui kerancakan media sosial ketika ini banyak membawa keburukan dan sekiranya sesuatu perkara internet disalah laku pasti ia menjadi viral dengan begitu cepat.

Baginya dengan memarahi individu atau pihak terlibat bukanlah jalan terbaik, tetapi ia perlu ditangani dengan program kesedaran kepada umum.