Untuk tiga tahun berturut-turut, Hafiz mengungguli kategori Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27).

Kemenangan terbaru diraih Juara Akademi Fantasia 7 itu menerusi lagu ciptaan Ajai yang bertajuk “Ku Akui” pada acara yang berlangsung Ahad lalu.

Kejayaan itu melayakkan Hafiz membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi.

Hafiz menewaskan saingan lain antaranya pemenang "Asian Wave 2012" di Shanghai, Shila Amzah dan Stacy.

Lagu Ku Akui turut memenangi tempat ketiga Lagu Terbaik.

Hafiz pernah memenangi kategori Vokal Terbaik dua tahun lalu menerusi lagu "Noktah Cinta" dan "Awan Nano".

Kejayaan itu membuktikan Hafiz sebagai antara vokalis terunggul negara sesuai dengan gelarannya sebagai juara program realiti, "Mania".

Melancarkan kerjaya di Indonesia akhir tahun lalu, dia bakal muncul dengan album kedua tidak lama lagi.