DUA dekad lalu, Halle Berry mencipta sejarah apabila memjadi aktres kulit hitam pertama yang membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi atau Oscar, menerusi filem arahan Marc Forster, Monster's Ball.

Setakat ini, Halle Berry masih memegang rekod menjadi aktres kulit hitam unggul yang memenangi anugerah berprestij berkenaan.

"Hakikat bahawa tiada sesiapa yang berdiri di sebelah saya (sebagai penerima anugerah sama) begitu menyedihkan," katanya dalam temu bual dengan The New York Times.

Dalam ucapan penuh emosi ketika menerima trofi tersebut pada 2002, Berry mendedikasikan kejayaannya kepada Dorothy Dandridge, yang merupakan aktres kulit hitam pertama tercalon bagi kategori itu, serta calon-calon terdahulu seperti Diahann Carroll dan Angela Bassett.

"Momen ini sangat berharga. Ia untuk semua women of colour yang kini mempunyai peluang kerana pintu telah dibuka," katanya.

Malangnya, harapan besar beliau untuk melihat ada aktres kulit hitam lain memegang trofi Oscar itu belum dapat dikecapi.

Dalam tempoh 20 tahun ini, enam pelakon kulit hitam telah dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terbaik, iaitu Gabourey Sidibe, Quvenzhané Wallis, Ruth Negga, Cynthia Erivo, Andra Day dan dua pencalonan untuk Viola Davis.

Biar pun kecewa, Berry tetap melihat pencapaian tidak hanya pada anugerah yang dimenangi.

"Kita tidak boleh selalu menilai kejayaan atau kemajuan dengan berapa banyak anugerah yang kita ada.

"Menang anugerah itu satu bonus, tetapi tidak menang tidak bermakna kita tidak hebat, atau kita tidak berjaya mengubah dunia dengan karya seni kita," tambahnya.

Anugerah Akademi ke-94 akan berlangsung Ahad ini di Los Angeles.