RATU pop etnik Malaysia, Noraniza Idris tampil dengan single terbaharu berjudul Penawar Kita, bergandingan dengan penyanyi Hazama.

Lagu ciptaan Luca Sickta dan lirik oleh Kmy Kmo itu menggabungkan elemen tradisional dan moden yang sinonim dengan warna nyanyian Noraniza Idris dan Hazama.

Lagu ini menggabungkan elemen muzik tradisional yang terpilih dengan hikmah pantun nasihat, mencipta perpaduan menawan antara tradisi dan moden.

"Saya rasa sangat bertuah kerana dapat berpeluang berkolaborasi bersama dengan lagenda Irama Malaysia, Noraniza Idris.

"Kali pertama dapat panggilan projek ini saya terus setuju dengan tawaran dari Kak Ani. Kebetulan pula saya memang peminat Kak Ani dari kecil lagi.

"Projek ini merupakan kali pertama saya merakamkan lagu yang bergenre Irama Malaysia.

"Tanpa tawaran ini, tidak mungkin berpeluang untuk merakamkan lagu yang berunsurkan Irama Malaysia kerana saya sememangnya membawakan genre rock," katanya.

Noraniza Idris tetap membawa pesanan mendalam melalui persembahan suara yang menggugah hati.

Lirik yang ditulis membawa pendengar dalam perjalanan yang menyentuh hati, di mana ujian dan cabaran kehidupan berfungsi sebagai pengajaran praktikal dalam memahami hakikat hubungan manusia.

"Setelah siap rangka susunan muzik, saya cadangkan agar lagu ini diduetkan dengan artis baru atau sedang aktif dan sesuai dengan vokal saya.

"Ambil masa lama juga meninjau, satu hari saya buat satu program melibatkan Hazama dan saya terus terfikir untuk calonkan Hazama sebagai rakan duet.

"Usulan itu disambut baik oleh pengurusan Hazama. Bermulalah rakaman single ini.

"Penerbitan single ini dipantau sepenuhnya oleh Datuk M.Nasir. Saya sangat berbesar hati dapat khidmat nasihat daripada beliau yang dihormati dalam industri muzik hingga kini," kata Kak Ani.

Kmy Kmo menambah;"Apabila zaman berganti zaman kita semua memerlukan udara-udara baik dan harmoni, menekankan keperluan berkekalan untuk bersatu dan harmoni dalam kehidupan kita."

Penawar Kita kini boleh didapati di semua platform muzik utama, seperti Spotify , Apple Music, Itunes dan juga Muzik Video akan mula ditayangkan di saluran Luncai Emas mulai 10 November 2023. -Gempak