HIBURAN
'Ia umpama riwayat cinta daripada saya kepada semua' - Misha Omar umum tarikh konsert mega

Misha Omar akan mengadakan konsert berskala besar bertajuk DiA Misha Omar pada 29 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, sebagai keraian perjalanan seninya selama lebih 23 tahun. -Media Hiburan
SELEPAS kejayaan Misha Omar Back To Basic, penyanyi Misha Omar terus mencetus keterujaan apabila mengumumkan konsert berskala besar yang bakal berlangsung pada 29 November 2025.
Ringkasan AI
- Misha Omar akan mengadakan konsert berskala besar bertajuk DiA Misha Omar pada 29 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, sebagai keraian perjalanan seninya selama lebih 23 tahun.
- Konsert ini bukan sambungan kepada showcase terdahulu, tetapi simbol fasa baharu dalam karier Misha, dengan persembahan berkualiti tinggi dan barisan pemuzik hebat dibawakan oleh Double M Production dan Altus Prohouse.
- Tiket konsert mula dijual pada 25 Julai 2025 jam 10 pagi dengan harga bermula RM288 (SILVER) hingga RM1,200 (VIP 1 dan ROYAL TWIN SEAT untuk dua orang).
Tak lama kemudian, tarikh dan lokasi konsert diumumkan menerusi DiA Misha Omar, yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, dibawakan oleh Double M Production dengan kerjasama Altus Prohouse selaku pengurus konsert.
Berbeza dengan showcase yang dianjurkan Disember tahun lalu, DiA Misha Omar bukan sambungan, tetapi satu bentuk keraian perjalanan seninya selama lebih dua dekad.
Ia juga dianggap fasa baharu dalam karier Misha, yang sebelum ini jarang melakukan konsert besar atas pilihannya sendiri.
Misha sememangnya dikenali sebagai seorang penghibur yang cenderung kepada sesuatu yang sederhana tetapi bermakna.
Begitu juga dengan pemilihan judul konsert ini. Ia mencerminkan perjalanan selama 23 tahun dalam dunia seni, dari Bunga-Bunga Cinta hingga Break.
Konsert ini dijangka menjadi pentas untuk mengabadikan segala momen manis dan kenangan berharga bersama peminat yang telah menyokongnya sejak awal.
Menurut wakil Altus Prohouse, Miselyn Yee Siew, peminat boleh menjangkakan pengalaman yang berkualiti tinggi dengan barisan pemuzik hebat dan persembahan pentas yang terbaik.
“Kami akan memastikan sesuatu yang berkualiti, pengalaman menikmati konsert yang hebat dengan barisan pemuzik dan persembahan panggung daripada Misha pada tahap terbaik di DiA Misha Omar, malam 29 November nanti.
“Bagaimana ia akan berlangsung dan apa yang bakal berlaku, semua itu terjawab apabila anda menjadi salah seorang penonton di Mega Star Arena, Kuala Lumpur kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Misha turut menyifatkan DiA Misha Omar sebagai sebuah sejarah penting dalam karier seninya setelah dua dekad lebih menyanyi.
Ia bukan sekadar konsert, tetapi peringatan tentang perjuangan, kepercayaan dan sokongan yang tidak pernah pudar dari industri dan peminat.
“DiA Misha Omar bukan hanya tentang saya seorang tapi tentang bagaimana perjuangan karier yang telah ditapaki lebih 20 tahun ini disokong penuh makna oleh pemain industri dan peminat.
“Ironi, saya tidak pernah mempunyai kelab peminat tetapi dengan kuasa karya bermutu yang diberikan kepada saya, dengan kepercayaan peminat bahawa saya masih relevan untuk menghiburkan mereka, maka perjalanan seni saya dapat bertahan sehingga kini.
“Siapa sangka, diam-diam saya berjaya melewati ‘hitam-putih’ 20 tahun sebagai seorang penghibur.
“DiA Misha Omar adalah titik destinasi baharu yang akan saya tandai dengan sejarah baik dan manis bersama anda semua.
“Ia umpama sebuah Riwayat Cinta daripada Misha Omar kepada semua. Saya mahu melihat adakah peminat masih mempunyai rasa Itu terhadap Misha Omar.
“Jika ada, pulangkan rasa itu dan semoga abadi DiA Misha Omar yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 29 November 2025 dalam ingatan kita bersama,” katanya.
Tiket konsert akan mula dijual pada 25 Julai 2025 jam 10 pagi dan harga bermula dari SILVER bernilai RM288, GOLD (RM388), PLATINUM (RM488), DIAMOND (RM588), VIP 2 (RM688) VIP 1 (RM1,200) dan ROYAL TWIN SEAT (2 pax RM1,200). -Media Hiburan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami