KUALA LUMPUR: Keadaan penyanyi veteran, Datin Paduka Julie Sudiro bertambah baik, menurut anak lelakinya, Rindra Soliano.

Rindra, dalam satu mesej ringkas di aplikasi WhatsApp kepada Astro AWANI berkata, Julie sudah sedar namun keadaan beliau masih lemah.

“Ibu sudah sedar, namun keadaannya masih lemah. Ibu juga sudah mula memberi respons pada pelawat yang datang menziarahinya di hospital,” kata Rindra.

Menurutnya, doktor yang merawat ibunya akan memberi perkembangan terkini berhubung keadaan ibunya pada Rabu.

“Terima kasih atas keprihatinan anda,” katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Selasa.

Semalam, Astro AWANI melaporkan penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu berirama keroncong dan jazz pada era 60-an itu, sedang menjalani rawatan di Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Puncak Alam di Shah Alam, akibat masalah paru-paru sejak pagi Ahad. 

Sehubungan itu, Rindra ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin turut mengesahkan keadaan Julie kritikal dan beliau memerlukan bantuan pernafasan akibat tahap oksigennya rendah.

Rindra turut berkata, doktor mendapati ada darah beku dalam jantung menasihatkan supaya Julie ditidurkan pada Isnin.