Skip to main content

Malaysia

Wanita perlu diberi ruang lebih besar dalam sektor pertahanan – Anwar

Anwar berinteraksi dengan para pelatih dalam sesi soal jawab pada program Temu Anwar bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515 hari ini.  - Bernama
Anwar berinteraksi dengan para pelatih dalam sesi soal jawab pada program Temu Anwar bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515 hari ini. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Wanita perlu diberikan ruang lebih besar untuk memainkan peranan dalam sektor keselamatan dan pertahanan negara, termasuk menerusi pelbagai bidang kepakaran yang bersesuaian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun terdapat tugasan ketenteraan tertentu yang memerlukan keupayaan fizikal tinggi, perkara itu tidak seharusnya mengehadkan penglibatan wanita dalam sektor berkenaan.

"Wanita perlu diberikan peluang yang sewajarnya untuk menyumbang dalam sektor keselamatan dan pertahanan negara berdasarkan kemampuan serta kepakaran masing-masing. 

Advertisement

"Walaupun terdapat tugasan tertentu yang memerlukan keupayaan fizikal tinggi, wanita tetap mempunyai peranan penting dalam bidang lain termasuk pendidikan dan perubatan,” katanya ketika sesi dialog bersama pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) Kem 515, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelatih mengenai cabaran melahirkan lebih ramai pemimpin wanita, khususnya dalam bidang keselamatan dan pertahanan negara.

Advertisement

Anwar turut menegaskan bahawa pencapaian wanita dalam bidang pendidikan membuktikan kemampuan golongan itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam pelbagai sektor.

Katanya, lebih 50 peratus penuntut universiti terdiri daripada wanita, malah golongan itu turut mengatasi lelaki dalam keputusan peperiksaan dan ujian tertentu.

Program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara PLKN 3.0 itu melibatkan 236 pelatih wanita PLKN 3.0 Siri 4/2026 secara bersemuka di Kem 515 Kuala Lumpur.

Sesi berkenaan turut disiarkan secara langsung ke tujuh kem PLKN lain di seluruh negara, membabitkan 1,663 pelatih, menjadikan keseluruhan penyertaan seramai 1,899 orang.

Program itu menjadi platform dialog dua hala bagi membolehkan pelatih menyuarakan pandangan, mengemukakan cadangan serta berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan tertinggi negara.

Must Watch Video

Advertisement