Skip to main content

Malaysia

Identiti Bangsa Malaysia tidak menuntut pengabaian budaya asal - Aaron

Aaron Ago Dagang berucap pada majlis Think Big Summit 2026: The Malaysian Dilemma: Kita Anak Malaysia di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya. - Gambar Bernama
Aaron Ago Dagang berucap pada majlis Think Big Summit 2026: The Malaysian Dilemma: Kita Anak Malaysia di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pembinaan identiti Bangsa Malaysia tidak menuntut mana-mana komuniti mengetepikan identiti budaya, bahasa dan agama masing-masing, sebaliknya memupuk semangat kekitaan, kesetiaan serta tanggungjawab bersama terhadap negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Malaysia perlu terus memperkukuh identiti kebangsaan bersama dengan menjadikan kepelbagaian sebagai sumber kekuatan negara, bukannya membiarkan perbezaan etnik, agama dan budaya menjadi punca perpecahan.

Beliau berkata, sejarah Malaysia terbentuk hasil penghijrahan, pertukaran budaya, perdagangan dan interaksi antara masyarakat berbilang kaum, manakala pemimpin terdahulu telah membuktikan kepentingan kerjasama serta sikap tolak ansur dalam membina masa depan bersama.

Advertisement

“Barangkali Malaysia lebih tepat diibaratkan sebagai mangkuk salad. Setiap masyarakat mengekalkan identiti tersendiri sambil menyumbang kepada satu kesatuan yang lebih besar,” katanya.

Aaron berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Think Big 2026 anjuran Pertubuhan Falsafah Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara yang bertemakan Dilema Malaysia: Kita Anak Malaysia.

Advertisement

Aaron berkata, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara kekal menjadi asas kehidupan bermasyarakat, dengan lima prinsip Rukun Negara perlu diterjemahkan dalam tingkah laku, keputusan serta hubungan seharian rakyat Malaysia.

Beliau berkata, negara masih berdepan 10 defisit sosial yang dikenal pasti menerusi kajian perpaduan nasional, merangkumi aspek etnik, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender, federalisme dan politik, ketidakseimbangan bandar-luar bandar serta media.

Beliau turut menekankan cabaran yang semakin kompleks susulan perkembangan media sosial, termasuk maklumat palsu, disinformasi, teknologi deepfake, kandungan dijana kecerdasan buatan (AI) dan naratif dimanipulasi, yang berpotensi menjejaskan kepercayaan awam serta kestabilan negara.

“Setiap rakyat Malaysia perlu belajar mempersoal kesahihan maklumat, menyemak sumber dan memahami kesan penyebaran kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Kita tidak boleh membiarkan algoritma menentukan sempadan identiti kebangsaan atau membenarkan naratif palsu membentuk persepsi sesebuah masyarakat terhadap masyarakat lain,” katanya.

Aaron berkata, kerajaan memberi penekanan baharu terhadap agenda pembinaan negara bangsa menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada aspek kemanusiaan, keterangkuman, identiti nasional dan patriotisme.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Perpaduan Negara mengangkat agenda Pembinaan Negara Bangsa sebagai fokus strategik utama menerusi tema Bersama Membina Negara Bangsa, dengan matlamat melangkaui usaha memperkukuh perpaduan nasional kepada pembentukan identiti Malaysia lebih kukuh.

Beliau berkata, konsep Negara Bangsa di Malaysia bukan bertujuan mewujudkan satu bangsa, menyeragamkan budaya atau menghapuskan identiti setiap komuniti, sebaliknya menyatukan kepelbagaian etnik, agama, bahasa dan budaya di bawah satu identiti kebangsaan.

“Dilema Malaysia bukanlah kerana kita terlalu berbeza untuk menjadi sebuah negara yang bersatu. Dilema sebenar ialah sama ada kita mempunyai keberanian, kematangan dan komitmen untuk menjadikan perbezaan sebagai kekuatan bersama negara,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan negara bangsa merupakan tanggungjawab berterusan yang memerlukan setiap generasi memperkukuh perpaduan, memupuk kemakmuran bersama serta memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai rasa kekitaan dan kepentingan dalam menentukan masa depan negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement