PERTUBUHAN bukan kerajaan WOMEN:girls sekali lagi menampilkan projek Ikal Mayang yang menghimpunkan 18 filem pendek sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2015.

Projek yang diadakan buat kali ketiga ini bertemakan ‪’Serupa’ atau ‘Similarities’ iaitu membicarakan persamaan di sebalik wajah, jantina, bangsa, dan latar belakang yang berbeza.

Bagi tahun ini, Ikal Mayang 2015 yang diterbitkan Garang Pictures dan Big Eyes Entertainment mengekalkan format filem pendek dua minit yang diperkenalkan pada Ikal Mayang 2014 lalu kerana ia mudah dikongsi selain mencabar setiap pengarah.

Barisan sutradara ini antaranya selebriti terkenal tanah air seperti Lisa Surihani, Kavita Sidhu, dan Adibah Noor.

Memilih genre komedi, Adibah Nor mempersembahkan sebuah filem pendek yang bertajuk 'Suara'. - Foto Astro Awani Shahir Omar
Memilih genre komedi, Adibah Nor mempersembahkan sebuah filem pendek bertajuk 'Suara'. - Foto Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

Selain itu, buat pertama kalinya, projek Ikal Mayang menampilkan lima pengarah lelaki yang memperjuangkan penceritaan cerita-cerita tulus dan asli daripada pandangan berbeza.

Barisan pengarah lelaki ini antaranya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Vince Chong, Pete Abdullah, Wak Doyok dan Afdlin Shauki.

“Saya sangat gembira apabila pasukan Ikal Mayang bersetuju untuk membuka penyertaan kali ini kepada kaum lelaki, sebab itulah tujuan dan harapan saya sejak dulu lagi untuk tahun ini sebab saya rasa pergerakan penceritaan ini perlu melibatkan semua orang.

“Saya percaya bahawa seseorang yang percayakan perjuangan hak wanita tidak akan tergugat dengan perbezaan dan keupayaan mana-mana jantina. Memang bagus untuk kita memperkasakan kaum lelaki supaya mereka akan memperkasakan wanita-wanita di sekeliling kita,” ujar Ida Nerina selaku pengarah kreatif projek Ikal Mayang dalam satu sidang media pada petang Jumaat.

Ida Nerina sebagai koordinator Ikal Mayang 2015 teruja apabila pasukan Ikal Mayang bersetuju untuk membuka penyertaan kali ini kepada kaum lelaki, kerana beliau percaya pergerakan penceritaan ini perlu melibatkan semua orang. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Ida Nerina sebagai pengarah kreatif teruja apabila pasukan Ikal Mayang bersetuju untuk membuka penyertaan kali ini kepada kaum lelaki. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Pengarah filem Michael Cooke dari Amerika Syarikat turut membuat penampilan istimewa dengan filem "The Way It Was" iaitu sedutan dua minit daripada filem pendek mereka "Across The Tracks."

“Filem-filem tahun ini semuanya hebat belaka dan salah satu keistimewaan tahun ini ialah kita ada filem pendek yang disunting daripada filem pendek yang lebih panjang dari Amerika Syarikat. Saya rasa ini tidak pernah dibuat orang lagi. Jadi kami sangat teruja,” kata Ida.

Selain itu barisan pengarah Ikal Mayang 2015 juga terdiri daripada Davina Goh, Carmen Soo, Siri Thana (Thailand), Kang Zetty Anis, Soosan Hoh, Elza Irdalynna, Tan Chui Mui, Rachel Malai Ali (Brunei) dan Lee Yve Vonn.

Memilih genre komedi, Adibah Nor mempersembahkan sebuah filem pendek yang sedikit sebanyak mengisahkan tentang dirinya, bagaimana dia mengharungi cabaran persepsi masyarakat dalam hidupnya menerusi karya “Suara”.

Adibah menampilkan pelakon handalan tanah air seperti Bront Palarae.

Pelakon filem "Suamiku Encik Perfect 10", Lisa Surihani yang pertama kali duduk di kerusi pengarah cuba mengetengahkan isu kelantangan bersuara ‘keyboard warrior’ menerusi “#”.

Lisa memilih situasi bagaimana seorang artis terkenal yang sering mendapat cemuhan dan komen yang melampaui batas di media sosial.

"#" - Trailer rasmi Ikal Mayang 2015
Bagi anak Allayarham Azean Irdawaty, Elza Irdalynna menceritakan tentang kehidupan seorang murid perempuan sewaktu kecil yang diejek rakan-rakan sekelas lelakinya kerana tidak memakai tudung menerusi filem pendeknya "Aurat".

Afdlin Shauki pula mempersembahkan sebuah filem pendek mengenai sepasang suami isteri yang tidak bahagia kerana tiada cahaya mata untuk menceriakan rumah tangga mereka menerusi karya "Sama Sama".

Elza Irdalynna -
Anak Allahyarham Azean Irdawaty, Elza Irdalynna menyertai projek Ikal Mayang 2015 menerusi filem pendeknya "Aurat". -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai seorang menteri, Khairy Jamaluddin turut duduk di kerusi pengarah untuk filem pendek "Teguh" yang mengisahkan seorang pemain skuash yang berusaha untuk pulih semula selepas mengalami kemalangan.

Bekas ratu cantik Kavita Sidhu tidak ketinggalan untuk turut sama mengarah dalam projek Ikal Mayang 2015 ini menerusi karya "Kari" yang menceritakan kisah benar seorang ibu tunggal yang tinggal di sebuah kereta buruk bersama anak lelakinya.

Kavita menampilkan pelakon Nadiya Nisaa sebagai teraju utama filem pendek ini.

Penyertaan Rachel Malai Ali dari Brunei pula cuba menceritakan seorang wanita yang berjawatan tinggi dan angkuh mencaci penjual air kelapa yang menjaja di hadapan pejabatnya menerusi karyanya "Kelapa."

Lee Yve Vonn pula cuba mengetengahkan persamaan amalan antara masyarakat Melayu dan Cina dalam menyimpan rambut yang baru digunting menerusi filem "Rambut".

Vince - Ben and Luna
Vince Chong bertindak sebagai pengarah filem pendek "Ben & Luna" yang menceritakan perihal kehidupan sebuah pasangan yang baru berkahwin. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Wak Doyok tampil dengan "Kayuh" yang menceritakan perjalanan seorang jejaka muda dan seorang wanita tua yang bekerja sebagai penarik beca untuk menyeberangi jambatan lama.

Perjalanan itu kemudiannya menjadi detik istimewa bagi kedua-dua individu itu.

Pete Abdullah yang selama ini menjadi pengarah fotografi dan sinematografi kini bertindak sebagai pengarah menerusi filemnya "Male + Food = :)" yang menceritakan tentang bagaimana untuk mengambil hati lelaki yang disayangi.

"♂ + Food = ㋡ " - Trailer Rasmi Ikal Mayang 2015
Bagi Siri Thana pengarah dari Thailand, beliau membuat satu filem pendek eksperimen sosial "sym.po.sium" di mana orang ramai diminta untuk memberikan jantina kepada objek-objek seperti bulu ayam, pisau, pasu dan batu.

“We Are Fine” oleh Tan Chui Mui pula mengisahkan seorang penjual nasi ayam yang mendapat halangan cinta daripada keluarganya kerana dia telah jatuh hati dengan seorang pekerja asing.

Davina Goh memilih untuk bercerita mengenai kehidupan sekumpulan pelajar seni mempertahankan diri menerusi filem arahannya "Classmate".

Jurulatih mereka mencabar keupayaan masing-masing walaupun seorang daripada pelajarnya perempuan.

3 Girls and a Babe - Kang Zetty Anis
Pengarah Kang Zetty Anis bersama poster filemnya "3 Girls and a Babe" yang berkisar mengenai tiga rakan serumah yang terpaksa menjaga seorang bayi. -Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Bagi Pengarah Soosan Hoh, beliau menceritakan mengenai dua orang individu yang mempunyai nama yang sama namun mempunyai latar belakang dan jantina yang berbeza menerusi filem "U & I."

Model terkenal Carmen Soo turut terlibat dalam projek Ikal Mayang ini melalui filem arahannya "Sacrifies" yang mengisahkan kehidupan tiga individu yang terpaksa membuat pilihan sama ada untuk menolong orang lain atau diri sendiri.

Siri 18 filem pendek ini bakal ditayangkan di Ikal Mayang KonFest 2015 yang akan diadakan pada 6-8 Mac di Quill City Mall Kuala Lumpur.

Tayangan filem Ikal Mayang akan dibuka kepada umum pada 7 Mac melalui program 'Sponsor A Youth' bernilai RM160 di mana seorang remaja daripada Projek Perumahan Rakyat akan ditaja untuk menonton filem tersebut. Tambahan, penaja tersebut juga akan mendapat sekeping pas masuk.

Pada 8 Mac pula, orang ramai boleh menonton melalui pembelian tiket berharga RM60 sahaja. Untuk maklumat lanjut mengenai tiket, boleh emel [email protected] ataupun di talian hotline 03 7954 4868.

WOMEN:girls juga akan membuat tayangan ekslusif filem-filem Ikal Mayang terdahulu iaitu Ikal Mayang 2013 dan Ikal Mayang Terpendam pada 8 Mac.

Astro melalui Astro First Saluran 480 juga akan bakal menayangkan beberapa karya terpilih di bawah judul 'Ikal Mayang - Bisikan Hati Tependam' pada Mac nanti.

Poster Ikal Mayang