SEPANG: Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta tiba di Malaysia hari ini untuk mengadakan lawatan khas selama lima hari.
Ramos-Horta dan delegasinya tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.12 pagi, dan kemudian menerima kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, yang diketuai Kapten Luqman Hakim Abd Khar di Kompleks Bunga Raya, KLIA.
Ketibaan Ramos-Horta disambut oleh Ketua Protokol Wisma Putra Ikram Mohd Ibrahim, serta Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Datuk Rozainor Ramli.
Pada Isnin, Ramos-Horta dijadual menghadiri sesi dialog bertajuk “Dunia Berubah, Nilai Tetap Utuh”, di Universiti Taylor.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut menjadi hos majlis makan tengah hari untuk meraikan Presiden Timor-Leste itu, di Kompleks Seri Perdana pada Selasa.
Ramos-Horta seterusnya akan menghadiri majlis pelancaran buku dan menyampaikan syarahan ulung pada acara anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR).
Beliau dijadualkan berlepas pulang ke Dili pada 17 Jun.
-- BERNAMA