KUALA LUMPUR: Lebih 3,000 golongan artis dan pekerja budaya dalam industri kreatif negara dijangka menerima manfaat menerusi peluang pekerjaan yang disediakan menerusi inisiatif pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana) berjumlah RM10 juta.

Daripada jumlah tersebut, seramai 575 individu menerima geran pembiayaan berkenaan pada hari ini, yang mana ia sebahagian daripada bantuan kewangan sebanyak RM150 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membantu industri kreatif yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, bantuan berkenaan akan memberi sinar baharu kepada komuniti seni dan budaya di negara ini, selain memastikan industri tersebut kembali bergiat aktif. 

“Antara bidang yang menerima manfaat itu ialah Program Pembiayaan Karya Kilat; Pilihan Industri Kraf; Program Kewangan Muzik Independen; Program Kewangan Seni Persembahan; Program Pemulihan Lokasi Seni; Program Kewangan Organisasi Seni Berdaya Saing; dan Program Seni Awam ‘Art in The City’.

“Individu kolektif, kumpulan dan organisasi yang berjaya menerima manfaat pada hari ini menerima saiz geran yang berbeza bergantung kepada aplikasi dan program yang disasarkan," katanya dalam majlis pengumuman penerima dana inisiatif Cendana di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC), di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehudin dan Pengerusi MyCreative Ventures, Noor Azmi Mat Said.

Jelas Saifuddin, penerima yang berjaya menerima jumlah geran serendah RM3,500 hingga RM150,000, bergantung kepada permohonan dan program pemohon.

Katanya, Inisiatif Pemulihan Cendana juga menyediakan sokongan yang diperlukan untuk ruang, organisasi seni, penerbitan, kugiran dan kumpulan teater dengan mewujudkan peluang pekerjaan.

Sementara itu, Izan berkata komuniti seni dan budaya kini sedang melalui proses pemulihan semula dan telah menunjukkan perkembangan positif selepas terkesan akibat pandemik COVID-19 sejak setahun lalu.

"Sebanyak 1,545 permohonan diterima dari seluruh negara sejak Julai tahun lalu. Program-program yang sedia ada masing-masing ada keunikan yang berlainan dan tujuan program tersebut adalah  berlainan, serta saiz geran juga berlainan," ujar beliau.

Penerima geran kebanyakan dari Sabah, Sarawak, Kelantan, Perak, serta Kedah dengan 38 peratus daripada mereka menghasilkan produk buatan Malaysia.

Selain itu, 35 peratus pemuliharaan warisan, 11 peratus kraf kontemporari, sembilan peratus kraf yang hampir pupus, lima peratus dalam latihan kraf manakala dua peratus lagi dalam inovasi kraf.