Adegan seks di dalam filem ‘Fifty Shades of Grey’ dilihat berbeza dengan gambaran melakukan hubungan seks di dalam novel terkenal berkenaan yang digambarkan dengan perkataan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tidak timbul isu untuk mengharamkan novel itu di toko-toko buku negara ini kerana medium visual dan tulisan merupakan dua aspek yang berbeza.

"Filem lain, ia tidak boleh ditayang kerana menunjukkan adegan 'ehem-ehem' (perhubungan seks), ia visual yang ditunjukkan secara fizikal dan melanggar akta.

"Berbeza dengan novel, ia hanya penceritaan dan jika hendak diharamkan, pasti negara akan dilabel sebagai sangat sempit daripada aspek penerbitan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dr Wan Junaidi mengulas keputusan larangan tayangan filem ‘Fifty Shades of Grey’ kerana mengandungi elemen erotik.

Pengedar filem itu di Malaysia, United International Pictures (UIP) pada awalnya berkata filem itu akan ditayangkan pada 12 Februari ini.

'Fifty Shades of Grey' menampilkan pelakon Dakota Johnson dan Jamie Dornan, masing-masing membawakan watak Ana Steele dan Christian Grey.

Filem arahan Sam Taylor-Johnson ini bakal ditayangkan di Amerika Syarikat pada 13 Februari.

Ujarnya lagi, keputusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) itu dilihat tepat pada masanya dan membuktikan ketegasan dalam memilih filem yang sesuai untuk tayangan di negara ini.

"LPF buat langkah tepat dan tidak timbul isu untuk mempertikaikan keputusan itu, semua pihak harus faham filem dan novel ada banyak bezanya," jelasnya.

"Fifty Shades of Grey" mengisahkan kehidupan seorang gadis, Anastasia Steele yang berubah setelah bertemu dengan seorang pemuda kacak namun ‘ganas’ iaitu Christian Grey.

Filem itu merupakan adaptasi daripada novel daripada judul yang sama hasil karya E.L. James.

Novel berkenaan juga mendapat sambutan hebat daripada kaum wanita dan telah terjual sebanyak 100 juta naskhah di seluruh dunia.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pernah menjalankan Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku 'Ultraman The Ultra Power' diwartakan kerana kandungan buku itu menyamakan watak Ultraman King sebagai “Allah”.

Namun demikian, KDN menjelaskan bahawa watak Ultraman tidak haram tetapi yang dikenakan Perintah Larangan adalah edisi (Ultraman The Ultra Power) sahaja.