BARU-BARU ini, pendakwah bebas Pencetus Ummah (PU) Syed telah bertindak menegur filem terbaharu arahan pelakon dan pengarah, Datuk Fizz Fairuz yang berjudul Mat Tudung Begins.

Menurut PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, tindakan beberapa pelakon lelaki yang mengenakan pakaian menyerupai wanita seperti yang terpampang pada poster filem berkenaan sememangnya salah di sisi agama.

Malah, dia juga menyifatkan para pengarah di Malaysia ini seakan ketandusan idea sehingga terpaksa menghasilkan filem-filem yang melanggar syariat.

Tidak berdiam diri, Fizz tampil memberikan reaksi balasnya berhubung kenyataan tersebut menerusi satu hantaran di ruangan Instagram Stories.

Jelas Fizz, PU Syed tidak sepatutnya membuat sebarang persepsi negatif berhubung filem ini sebaiknya menonton terlebih dahulu untuk mengetahui jalan cerita yang sebenar.

“Terima kasih Syed, tapi kenyataan itu salah. Saya bukan hari-hari jadi wanita.

“Itu kan cerita. Jangan haramkan dulu sebelum tahu cerita sebenar,” tulisnya.

Selepas lapan tahun, filem komedi yang popular pada 2014, Mat Tudung yang menyaksikan Fizz melakonkan dua watak berbeza jantina, diterbitkan semula dengan versi baharu.

Diberi judul Mat Tudung Begins, kali ini, Fizz bukan sekadar berlakon, malah bertindak sebagai penerbit dan pengarah filem yang dianggarkan membabitkan kos RM800,000 itu.

Terdahulu, selain Fizz yang membawakan watak utama, filem ini juga turut menampilkan barisan pelakon seperti Achey Bocey, Isyariana, Maryam Duriankimci dan pempengaruh terkenal Indonesia, Mimi Peri. -Media Hiburan