Sempena menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak, Astro telah menyediakan pelbagai rancangan dan program-program eksklusif yang lebih mantap dan hebat dari tahun-tahun sebelumnya.

Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro Khairul Anwar Salleh berkata pihaknya komited dalam usaha jangka panjang memberikan kandungan yang lebih berkualiti kepada penonton menerusi pendekatan 360 darjah iaitu Tonton, Dengar dan Baca.

“Selain program TV, kami juga mengambil inisiatif untuk turun padang bersama orang ramai seperti Bazar Kosong-Kosong yang disertai oleh pelbagai selebriti popular tanah air.

“Keunikan pada tahun ini juga ialah program Santai Kosong Kosong yang turut bekerjasama dengan ‘food truck’ untuk berbuka puasa di tempat awam di lokasi terpilih di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada sidang media kempen kosong-kosong Ramadhan Astro baru-baru ini.

Antara rancangan menarik yang disediakan ialah ‘Tanya & Ngaji’, Mail & Sudin Sambut Ramadan, drama bersiri Maid, Cik Bunga Cik Sombong, Resepi Memikat Suami dan Hajat Khas Ramadan.

Program berkonsep islamik turut diberi keutaaman dengan memulakan kempen Projek Ngaji dengan bertadarus 30 Juzuk Al Quran selama 30 hari dan diakhiri dengan khatam Al Quran iaitu Imarah Ramadan.

Kesemua program hebat ini boleh ditonton menerusi saluran Bahasa Melayu Astro seperti Astro Ria (saluran 104), Astro Oasis (saluran 106), Astro Prima (saluran 105), Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Warna (saluran 132).