Genap 26 tahun lagu nasyid popular, Keluarga Bahagia nyanyian kumpulan Saujana sejak ia dikeluarkan pada 1997 menerusi album sulung mereka, berjudul Saujana. 

Biarpun tahun silih berganti dan zaman berubah dengan pasang surut populariti muzik nasyid, lagu Keluarga Bahagia tetap meniti di bibir peminat dan pencinta muzik tanah air.

Bersempena sambutan Ramadan tahun ini, lagu tersebut dilancarkan semula dengan versi baharu yang diberi sentuhan yang segar menampilkan kolaborasi hebat Saujana dan penyanyi, Siti Nordiana.

Mewakili Saujana, Suffian Amrin berkata, pihaknya berbesar hati apabila team Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana mencadangkan kepada mereka untuk berkolaborasi. 

"Sebelum ini, Nana pernah berduet dengan Ustaz Shahrizan menerusi lagu zikir Hasbi Rabbi, jadi tahun ini perancangan Nana dan pasukannya ialah untuk berduet lagu Keluarga Bahagia pula. 

“Bila dipelawa, kami berasa sangat berbesar hati dan terus bersetuju. Cuma cabarannya adalah dari segi rakaman gandingan penyanyi-penyanyi dari dua jantina dan susunan lagu ini juga sangat berbeza dari yang asal. 

"Ini kerana ia membabitkan dua ‘tone’ suara yang berbeza. Bila kami sudah bersetuju untuk berduet, kami teruskan rakaman walaupun terpaksa menjalani sesi rakaman di tiga studio yang berbeza disebabkan perbezaan jadual antara kami semua. 

“Alhamdulillah, lagu dan muzik video akhirnya selesai dirakamkan dan bakal dilancarkan bulan Ramadan ini. Susunan lagu ini dibuat oleh Zimi yang juga bertindak sebagai penerbit. 

“Susunan lagu dibuat secara moden dengan genre muzik balada. Mesej lagu akan kepentingan hidup kekeluargaan dikekalkan dan susunan lagu yang dibuat menepati cita rasa pendengar kini," katanya.

Lagu Keluarga Bahagia (2023) diterbitkan oleh syarikat rakaman Seventeen Eleven Music dengan sentuhan penerbit Zimi. 

Rakaman lagu ini membabitkan empat anggota Saujana iaitu Dr Khairul Idzwan Baharin, 42; Suffian Amrin, 42; Azalinor Abd Rahman, 42; dan Ahmad Zuhaidi Abd Aziz, 44.

Sementara itu, Nana mengakui dia berasa gementar menantikan respons daripada peminat.

"Umum mengetahui lagu Keluarga Bahagia ini mempunyai penggemar tersendiri sejak dahulu lagi. Jadi, apabila diberikan nafas baharu tentu saja saya gementar nak menunggu maklumbalas peminat.

"Apa pun, saya sudah cuba yang terbaik dan menyanyikan lagu ini mengikut cara dan gaya saya sendiri tapi masih kekalkan keaslian, kemerduan lagu ini," katanya. - Gempak