KEHANGATAN filem animasi BoBoiBoy Movie 2 (BBB2 ) semakin terasa.

Namun, apa yang lebih menarik apabila karakter utama filem tersebut, iaitu Boboiboy dan Adudu hadir ke program hiburan, Meletop dan mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Mana tidaknya, ia bukan hadir secara maskot namun secara animasi itu sendiri secara langsung.

Menurut pengarahnya, Nizam Abd Razak, pihak Animonsta dan Astro Shaw cuba membawa kelainan dalam mempromosikan filem itu.

"Idea ini tercetus sebab masa filem pertama kita hanya bawa maskot, jadi untuk membuat satu kelainan, mengapa tidak kami bawakan watak itu sendiri.


"Kami fikir jika ia berjaya, sudah pasti ia akan menjadi buah mulut masyarakat yang menonton, jadi kami dengan kerjasama pihak Astro Shaw bawa watak animasi itu sendiri dan mempromosikan filem tersebut," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Beliau mengakui untuk membawa konsep Imej Janaan Komputer ( CGI ) secara langsung sangat mencabar.

"Ia sangat mencabar untuk membawakan konsep tersebut secara langsung tetapi saya berikan pujian kepada Neelofa dan Nabil kerana berjaya berinteraksi dengan animasi tersebut dengan baik sekali," katanya lagi.

Selain Malaysia BBB2 juga akan ditayangkan di Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam.

Filem ini bakal menjengah pawagam tanah air pada 8 Ogos ini.