Skip to main content

Bisnes

Suruhanjaya Kredit Pengguna lantik Abu Hassan Alshari Yahaya sebagai Pengerusi Eksekutif

KUALA LUMPUR, Nov 20 -- Bank Negara Malaysia Assistant Governor and Consumer Credit Oversight Board (CCOB) Task Force Head Abu Hassan Alshari Yahaya speaks to the media after visiting the Malaysian National News Agency (Bernama) at Wisma Bernama today.  --fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED
Abu Hassan dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SKP, bagi mengetuai barisan kepimpinan pertamanya, berikutan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025  pada 1 Mac 2026.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) mengumumkan pelantikan bekas penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Abu Hassan Alshari Yahaya sebagai pengerusi eksekutif, bagi mengetuai barisan kepimpinan pertamanya, berikutan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025  pada 1 Mac 2026. 

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan selama tiga tahun itu dibuat oleh Menteri Kewangan, sekali gus menandakan permulaan rasmi operasi SKP sebagai badan pengawal selia yang bertangungjawab menyelia penyedia kredit pengguna di Malaysia, bagi memastikan amalan pemberian kredit dilaksanakan secara telus, adil dan bertanggungjawab.

Advertisement

Terdahulu, Abu Hassan mengetuai Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna yang ditubuhkan pada Julai 2021, bagi merangka Rang Undang-Undang Kredit Pengguna dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan. 

“Sebelum ini, beliau pernah mengetuai beberapa fungsi utama di BNM, termasuk kewangan, pengurusan mata wang, komunikasi strategik dan perkhidmatan sokongan berpusat.

“Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam penyeliaan perbankan dan pernah bertugas sebagai setiausaha kepada lembaga pengarah ketika berkhidmat di BNM,” kata SKP. 

Sementara itu, Abu Hassan berkata penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 merupakan langkah penting dalam agenda reformasi kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pengguna dalam sektor kewangan.

“Buat kali pertamanya, Malaysia mempunyai undang-undang komprehensif yang memberi fokus khusus kepada pengawalseliaan kredit pengguna di luar sektor perbankan, sekali gus memperkukuh dan memperbaiki landskap industri kredit pengguna negara,” katanya. 

Yang turut dilantik sebagai Lembaga Pengarah SKP ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif Salmah Bee Mohd Mydin, selain wakil daripada Kementerian Kewangan (MoF), BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta beberapa individu profesional berpengalaman daripada industri. 

Antara ahli lembaga pengarah ialah Nahidah Usman (wakil MoF), Dr Norhana Endut (wakil BNM), Yew Yee Tee (wakil SC), dan ahli luar Datuk Mohd Muazzam Mohamed, Datuk Mohamed Ridza Mohamed Abdulla, Leong Kah Chern, dan Murali Desan SP Krishnamurthy.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video