HIBURAN
Kerajaan sokong usaha bawa filem tempatan ke peringkat antarabangsa

Festival Filem Malaysia ke 34 membuka lembaran baharu dalam sejarah penganjurannya apabila memperkenalkan kategori baharu, Aksi & Lagak Ngeri Terbaik. - Foto/Sinar Harian
GOMBAK: Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi sentiasa menyokong usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam mempromosikan filem tempatan ke peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bagi merancang penganjuran Festival Filem Malaysia di negara-negara luar, termasuk di China.
Jelas Teo, penganjuran festival seumpama itu di luar negara boleh menjadi satu platform mempromosi hasil karya tempatan di luar negara dengan lebih berkesan.
“Kita percaya sebagai Pengerusi ASEAN, banyak ruang dan peluang yang boleh diteroka untuk membawa filem Malaysia ke luar negara,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) di Hulu Kelang, pada Selasa.Beliau turut mengucapkan tahniah kepada filem animasi Ejen Ali The Movie 2 yang meraih sambutan hangat di Indonesia, sekaligus membuktikan potensi besar filem tempatan di pasaran antarabangsa.
“Banyak lagi filem Malaysia yang mencapai kutipan box office memberangsangkan dan mampu mendapat sambutan baik, bukan sahaja di rantau ASEAN tetapi juga di luar ASEAN,” katanya lagi.
Setakat 30 Jun lalu, industri filem tempatan telah merekodkan kutipan box office melebihi RM162 juta melalui tayangan 39 buah filem cereka, mengatasi kutipan sepanjang tahun lalu sebanyak RM125.28 juta.
Sementara itu, FFM34 dengan tema “Karya Kreatif, Sinema Dinamik” bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media pada 8 November depan.
Sebanyak 30 kategori anugerah bakal dipertandingkan, termasuk satu kategori baharu iaitu Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik yang mengiktiraf keberanian, kesungguhan dan profesionalisme para karyawan dalam menjayakan adegan aksi yang mencabar secara selamat dan berkualiti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami