HIBURAN
[KOLUMNIS] Gema dari menara - Fragmen zaman Brunei Darussalam
![[KOLUMNIS] Gema dari menara - Fragmen zaman Brunei Darussalam [KOLUMNIS] Gema dari menara - Fragmen zaman Brunei Darussalam](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-05/71746416060_tbfilembrunei.jpg)
Gema Dari Menara, filem terbitan tahun 1968 ini diangkat sebagai filem cereka pertama Brunei.
KETIKA kita melalui kehidupan sehari-hari yang bergerak pantas dan seringkali tidak memberi ruang refleksi - kesempatan untuk menukilkan semula dalam tulisan seperti ini tanpa sedar memberikan kita kesempatan untuk menghargai kembali setiap detik yang kita lalui – yang telah memberi makna serta mempengaruhi perjalanan kita yang seterusnya.
Peristiwa sesederhana perbualan santai yang berlaku pada suatu petang, mungkin mampu menjadi sesuatu yang kita kenang dan menjadi bekal semangat untuk bertahun mendatang.
Pada petang 8 Oktober 2019, di sebuah kafe di Bandar Seri Begawan, saya menemui pasangan suami isteri pembikin filem Brunei; Harlif Mohamad dan Nurain Peeraya. Saya ketika itu bermalam satu hari di negara itu dalam transit penerbangan Royal Brunei ke London - untuk urusan kerja di Eropah.
Janji temu dengan mereka diatur sekitar jam 4 petang, setelah saya terlebih dahulu menyelesaikan urusan rasmi mengadakan kunjungan hormat ke Radio Televisyen Brunei (RTB). Kami minum petang bersama, sebelum saya dibawa melawat studio Regalblue Production; syarikat produksi milik mereka berdua.Saya mengenali Harlif lebih awal - sekitar empat tahun sebelumnya, iaitu pada tahun 2015 apabila saya menjemput beliau menyertai jawatankuasa penasihat kepada Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) – setelah diperkenalkan oleh seorang rakan pengarah filem dari Singapura yang turut bersama dalam jawatankuasa tersebut. Namun, ketika itu kami hanya berhubung dalam talian, sebelum dapat bertemu kali pertama di festival filem pendek Asia Tenggara – SeaShorts – di George Town, Pulau Pinang pada 2018.
Isteri beliau, Nurain saya kenal selepas itu. Nurain berasal dari Thailand, dan berkelulusan komunikasi massa dari Universiti Chulalongkorn, Bangkok. Mereka bertemu dalam sebuah bengkel anjuran Jawatankuasa Kebudayaan & Penerangan ASEAN (ASEAN COCI) hingga akhirnya berumah tangga – berhijrah ke Brunei - dan kemudian sama-sama membangunkan Regalblue Production; antara syarikat produksi paling prolifik di satu-satunya negara monarki mutlak di Asia Tenggara itu.

Gema Dari Menara, filem terbitan tahun 1968 ini diangkat sebagai filem cereka pertama Brunei.
Perbualan kami petang itu diisi dengan pelbagai perkara – namun satu perkara yang paling menarik perhatian saya adalah mengenai filem `Gema Dari Menara`. Saya sememangnya telah mula mengikuti kisah mengenai filem ini sejak beberapa tahun sebelumnya – melalui perkongsian Harlif dan Nurain di media sosial
`Gema Dari Menara`, filem terbitan tahun 1968 ini diangkat sebagai filem cereka pertama Brunei. Saya tertarik apabila mengetahui filem ini diterbitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Brunei (kini kementerian), dan kemudian menjadi satu-satunya filem cereka yang diterbitkan negara itu untuk tempoh hampir lima dekad - sebelum filem `Ada Apa Dengan Rina` arahan Harlif diterbitkan pada tahun 2013.
Berlatarbelakangkan Brunei pada era 1960-an, filem ini menyorot kisah sebuah keluarga Brunei yang berdepan gelombang perubahan zaman, cabaran sekularisasi dan pengaruh budaya barat yang dilihat mula menggugat akar tradisi dan pegangan agama. Melalui watak Azman yang dilakonkan oleh Pengiran Abbas Pengiran Haji Besar, ia menggambarkan seorang anak lelaki yang teguh memegang nilai Islam berusaha memelihara keharmonian keluarganya. Namun, adik-beradiknya terjerumus dalam kehidupan moden yang liar dan jauh dari ajaran agama. Konflik modenisasi itulah yang membuatkan jabatan tersebut memilih filem sebagai medium propaganda ketika itu.
Mula ditayangkan pada 23 Oktober 1968 di New Boon Pang Theatre, semakan laporan akhbar ketika itu menyatakan ia menerima sambutan hangat daripada penonton tempatan. Meskipun dari sudut teknikal dan lakonan ia mungkin sederhana berbanding filem-filem kontemporari, kepentingannya tetap penting sebagai kapsul masa dan perakam zaman – merakam Brunei dan masyarakatnya dalam dekad 1960-an.
Harlif dan Nurain berkongsi kisah bagaimana mereka menghabiskan hampir enam tahun menjejaki salinan asal filem ini, setelah mendapat tahun mengenai kewujudannya ketika mereka mengusahakan penerbitan `Ada Apa Dengan Rina`. Kebanyakan salinan yang mereka temui ketika itu tidak berada dalam kondisi yang baik.
Hingga akhirnya, mereka menemui salinan asal filem ini di Malaysia; dalam simpanan pihak FINAS.

Penulis dibawa melawat Regalblue Production di Brunei.
Menurut Harlif, filem ini sememangnya diterbitkan dengan kerjasama pihak Filem Negara Malaysia (kini dikenali FINAS), yang ketika itu menyediakan peralatan dan pasukan penerbitan bagi kerja-kerja produksi, atas faktor limitasi fasiliti serta kemahiran produksi di Brunei ketika itu. Ini menjadikan ia sebagai produksi gabungan dua negara; pasukan penerbitan dan teknikal dari Malaysia, manakala pasukan kreatif dan pelakonnya dari Brunei.
Penemuan salinan filem ini – termasuk versi terbaharu yang telah direstorasi oleh pihak FINAS membawa khabar gembira dalam usaha Harlif dan Nurain untuk meraikan kembali filem penting ini di negara mereka.
Akhirnya, setelah beberapa siri rundingan, Harlif dan Nurain berjaya membawa pulang salinan filem tersebut ke Brunei.
Bersempena ulang tahun ke-50 filem tersebut pada tahun 2018, sebuah sessi tayangan khas serta acara imbas kembali filem ini diadakan di pawagam The Arena Cineplex, Kiulap pada 23 Oktober tahun tersebut - diikuti dengan beberapa siri tayangan amal di beberapa lokasi sekitar Brunei selepas itu.
Ia adalah kelanjutan dari sesi tayangan sebelumnya yang pernah mereka jalankan sebelum itu – iaitu pada tahun 2014 di Universiti Brunei Darussalam.
Kerana kebetulan saya dan mereka sebelum itu pernah menghadiri bengkel pencalonan program daftar warisan Memory of The World (MoW) anjuran UNESCO (saya menghadiri bengkel di Bangkok, manakala mereka menghadiri bengkel di Singapura), timbul idea petang itu mengenai potensi mengusahakan pencalonan bersama bagi `Gema Dari Menara`. Tambahan pula pihak UNESCO ketika itu memang sedang menggalakkan pencalonan bersama antara beberapa negara – dalam menyemarakkan usaha meraikan warisan serantau secara bersama.
Sehingga kini, saya sentiasa merasakan idea tersebut sebagai sesuatu sangat berpotensi untuk diusahakan – dan boleh untuk digerakkan sekiranya mendapat restu daripada pihak berkuasa dari kedua-dua negara. Ini terutamanya daripada pihak Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei selaku penerbit filem, serta pihak FINAS rakan kerajasama serta penjaga salinan asal filem tersebut.
Selain itu, apabila menyentuh mengenai kerjasama dua negara, kami mengingatkan kembali pertemuan kami beberapa bulan sebelum petang itu. Bulan April 2019, kami ada bertemu di Kuching, Sarawak ketika sama-sama menghadiri ASEAN International Film Festival 2019. Harlif ketika itu bertanding di festival tersebut melalui filem kedua arahannya; Rina2.
Filem Rina2 diterbitkan oleh produksinya secara penerbitan bersama dengan sebuah syarikat penerbitan daripada Laos; Lao Art Media Co Ltd yang menjadikan ia sebagai sebuah produksi bersama dua negara. Atas faktor itu jugalah, dalam festival yang kami hadiri tersebut, filem ini telah diangkat bagi memenangi anugerah khas juri – ASEAN Spirit Award – atas semangat kerjasama antara dua negara ASEAN melalui filem.
Setelah hampir separuh hari bersama Harlif dan Nurain – termasuk dibawa melawat studio dan pawagam mini milik mereka - malam itu mereka menghantar saya ke lapangan terbang untuk meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju.
Dari kisah perkenalan yang dipertemukan oleh rakan pembikin dari Singapura, membawa kepada persahabatan saya dengan seorang pengarah dari Brunei yang beristerikan wanita asal Thailand, kepada kisah kerjasama produksi antara negara yang terjalin sejak lebih separuh abad yang lalu. Kisah perbualan kami petang itu berlegar antara pelbagai negara - Brunei, Thailand, Malaysia, Laos - dan sebagainya.
Pertemuan di Bandar Seri Begawan pada suatu petang pada bulan Oktober 2019 itu, sarat dengan harapan bagaimana kita sebagai sahabat dan saudara serumpun mampu berkongsi pelbagai perkara – dalam jalan menuju kebersamaan.
* Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd. Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, pembaca boleh layari www.diplomasifilem.com ** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami