HIBURAN
Komposer 'Mission: Impossible', Lalo Schifrin meninggal dunia pada usia 93 tahun

Lalo Schifrin – individu di sebalik tema ikonik siri "Mission: Impossible" dilaporkan meninggal dunia pada usia 93 tahun. - Gambar fail AP
BUENOS AIRES: Komposer tersohor kelahiran Argentina, Lalo Schifrin – individu di sebalik tema ikonik siri "Mission: Impossible" – dilaporkan meninggal dunia pada usia 93 tahun.
Menurut laporan beberapa media pada Khamis, pemergian Schifrin disahkan oleh anaknya, William, seperti yang dilaporkan oleh The Hollywood Reporter.
Bagaimanapun, ejen Schifrin tidak memberikan sebarang maklum balas segera kepada agensi berita Reuters.
Schifrin yang dilahirkan di Buenos Aires, mula meminati muzik jazz Amerika sejak usia remaja.Selain komposer, beliau juga dikenali sebagai pemain piano dan konduktor orkestra.
Sepanjang kerjayanya, beliau menerima enam pencalonan Anugerah Oscar bagi skor muzik filem termasuk "Cool Hand Luke" (1967) dan "The Amityville Horror" (1979).
Beliau turut memenangi empat Anugerah Grammy, termasuk bagi lagu tema "Mission: Impossible" yang terkenal dengan susunan masa tidak konvensional 5/4.
Lagu itu dicipta untuk siri drama perisik CBS yang mula disiarkan pada tahun 1966, sebelum diangkat menjadi francais filem pecah panggung yang masih berterusan sehingga kini.
Pada tahun 2018, Schifrin dianugerahkan Oscar Kehormat sebagai pengiktirafan sepanjang hayatnya dalam dunia muzik, yang disampaikan oleh pengarah dan pelakon terkenal Clint Eastwood. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami